suria

13 Rakyat Malaysia Terbunuh Kemalangan Bas Di Chiang Mai

Pasukan penyelamat Thailand mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera dari bangkai bas yang terbabit dalam kemalangan di Chiang Mai, Ahad. Foto EPA

KUALA LUMPUR: Seramai 13 rakyat Malaysia disahkan maut manakala sembilan lagi cedera termasuk empat parah dalam satu kemalangan bas di Chiang Mai, utara Thailand pada Ahad.

Ketika dihubungi Bernama malam Ahad, Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin berkata, dalam kejadian 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu
Malaysia) itu, seramai 22 rakyat Malaysia berada di dalam bas berkenaan selain beberapa penumpang lain yang belum dikenal pasti kewarganegaraan mereka.

"Pihak kedutaan sedang menunggu pengesahan mengenai pengecaman mayat rakyat Malaysia terbabit sebelum menghubungi waris mangsa di Malaysia.

"Berdasarkan sumber yang saya peroleh, rakyat Malaysia terbabit difahamkan berasal dari Johor," katanya.

Laporan agensi media antarabangsa, Xinhua, menyatakan bas itu terbabas ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai, selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap. 

Sementara itu, Kementerian Luar berkata, Kedutaan Malaysia di Bangkok sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand dalam memberi bantuan konsul kepada mereka yang cedera, selain menghubungi waris-waris mangsa berkenaan.

Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah kepada kepada keluarga dan rakan mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu.

Di JOHOR BARU, Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd, Terence Yung, mengesahkan kesemua 22 mangsa berkenaan adalah dari Batu Pahat, Johor.

"Kami menerima berita sedih bahawa kenderaan yang membawa Kumpulan Pelancong kami yang ke sana pada 17 Disember (Khamis) telah terlibat dalam kemalangan," kata Yung ketika dihubungi Bernama malam Ahad.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera kini dirawat di lima buah hospital di Chiang Mai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain