suria

Kerajaan Pusat Akan Pastikan BN Raih Kemenangan Besar Pada PRN Sarawak

Dr Ahmad Zahid Hamidi memakai kostum tradisi pahlawan kaum Kayan Sarawak ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Hillary Jungang, Marudi pada Jumaat. Foto: Bernama

MIRI: Kerajaan Pusat akan menggerakkan usaha bagi memastikan Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan besar itu bukan sahaja mempertahankan kerusi-kerusi dimenangi pada pilihan raya lepas, malah menguasai 11 kerusi baharu yang bakal dipertandingkan pada PRN11. 

"Ini bagi memperlihatkan keakraban hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang memberi kesempatan kepada kerajaan negeri menyalurkan peruntukan besar kepada rakyat Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Masjid Kampung Keluru Jaya di Lambir pada Jumaat.

Memberikan contoh, beliau berkata komitmen itu digambarkan melalui penambahan peruntukan untuk pembangunan luar bandar di Sarawak sebanyak RM1.5 bilion dalam Bajet 2016, berbanding RM1.1 bilion pada Bajet 2015.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kepimpinan BN Pusat akan bekerjasama dengan BN negeri agar semua jentera dapat diselaraskan dalam usaha mencapai matlamat tersebut pada PRN11.

Beliau juga melahirkan keyakinan jentera di peringkat negeri sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dalam urusan pendaftaran pengundi baharu.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid diberi penghormatan oleh penduduk untuk menamakan Masjid Kampung Keluru Jaya sebagai Masjid Hamidiyah, bersempena dengan nama bapanya.

Masjid berkenaan yang bakal dibina dengan kos RM750,000 adalah untuk menggantikan surau kampung berkenaan, dan dapat digunakan bersama oleh penduduk dari enam kampung berdekatan.-Bernama

Artikel Sebelum

Abdul Rahim Nik Dilantik CEO MTC

Artikel Lain