suria

Pilih Individu Yang Ada 'Roh', Jiwa Guru, Kata Wakil Wanita Johor

Wakil Pergerakan Wanita Umno Rahemah Idris membahaskan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan perlu lebih peka dalam pemilihan individu yang ditawarkan jawatan guru supaya mereka yang dipilih benar-benar meminati profesion itu, kata wakil Pergerakan Wanita Umno, Rahemah Idris.

Ketua Wanita Umno Ayer Hitam, Johor, itu berkata ini penting bagi memastikan mereka dapat melaksanakan fungsi dan tugas sebagai pendidik anak bangsa dengan bersungguh-sungguh.

"Jika nak ambil guru, tolonglah tapis dahulu... Jika tiada 'jiwa' dan 'roh' guru, janganlah diambil," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Sabtu.

Rahemah, yang juga seorang pendidik, turut menggesa Kementerian Pendidikan mendengar keluhan warga pendidik yang terpaksa memikul beban tugas berlebihan berkaitan operasi, pengkeranian selain kerja memasukkan data secara elektronik yang mengganggu tugas hakiki mereka.

Beliau berharap program perintis khidmat pembantu guru yang diadakan di Melaka dan Kedah ketika ini diperluaskan ke seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Pendidikan perlu mempunyai garis panduan yang jelas, dasar yang komprehensif dan kukuh agar guru-guru dapat melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek intelektual, rohani, jasmani dan emosi.

"Contohnya, dulu program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dah baik, anak-anak kita dah belajar dalam Bahasa Inggeris, tetapi tak sempat habis, dah 'landing'.

"Kita bukan nak menentang. Jika kementerian nak buat, buatlah tetapi jangan kejap buat kejap tak buat, pening cikgu-cikgu. Siang malam kita berkursus, sekejap nak buat Bahasa Melayu, sekejap nak buat Bahasa Inggeris sudahnya bukan cikgu sahaja yang pening, budak-budak pun pening, kementerian pun pening," katanya merujuk beberapa perubahan dasar dalam sistem pendidikan.

Rahemah juga meminta Kementerian Pendidikan fokus ke arah penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan Internet di sekolah-sekolah seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi kemahiran berfikir aras tinggi.

Begitu juga penekanan terhadap Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membantu pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik mempunyai kelebihan dalam aspek kemahiran, katanya.

Sementara itu, wakil Pergerakan Pemuda Umno berkata kekurangan tenaga pengajar berkualiti di sekolah-sekolah luar bandar mesti ditangani segera bagi memastikan akses pendidikan terbaik dapat disediakan tanpa mengira kawasan. 

Ketua Pemuda Umno Bahagian Ketereh, Azam Ismail berkata biarpun kerajaan banyak menyediakan sekolah luar bandar namun ia belum lagi boleh merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar.

"Saya ingin bertanya kepada pihak berwajib, bagaimana keputusan menghantar tenaga pendidik antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar? Ini kerana, saya melihat hanya guru-guru baru sahaja dihantar ke luar bandar.

"Di mana guru-guru cemerlang? Di mana guru-guru terlatih?," katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan supaya penyediaan infrastruktur di sekolah luar bandar ditambah baik dalam memastikan akses pendidikan luar bandar seiring sekolah bandar.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain