suria

"Saya Ada Banyak Peluang Kalau Mahu Hancur Umno" - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian bahawa kesetiaannya kepada Umno dan Barisan Nasional tidak pernah goyah.

Bekas perdana menteri itu berkata sekiranya benar beliau dikatakan mahu menghancurkan Umno, beliau mempunyai banyak peluang sepanjang 22 tahun menerajui kepimpinan parti dan negara.

"Saya mempunyai banyak peluang kalau kata saya nak hancurkan Umno tapi pada masa kepimpinan saya, Umno tak hancur pun.

"Saya boleh letak jawatan semasa negara mengalami krisis kewangan pada 1998 dan ketika isu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dahulu tetapi saya tidak berbuat begitu.

"Saya hanya meletak jawatan pada tahun 2002 setelah semua masalah dan krisis kewangan pulih. Dan kini saya pula dituduh mahu menghancurkan Umno," katanya pada sesi dialog bersama beliau anjuran Ketua Cawangan Badlishah, Kedah, Anuar Abdul Hamid di sini, Khamis.

Turut hadir bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid dan anggota bahagian dari Kedah, termasuk Pendang, Merbok, Kubang Pasu dan Baling.

Mengulas ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata tugas timbalan presiden parti seharusnya membantu presiden, Dr Mahathir berpendapat maksud 'bantu' dalam Perlembagaan Umno bukannya semata-mata menyokong tetapi juga menasihati dan menegur presiden sekiranya terdapat sebarang isu dalam urusan pentadbiran.

Selain itu, Dr Mahathir berkata anggota Umno harus menguatkan pendirian dan tidak mudah terpesona dengan tawaran dan sogokan mana-mana pihak sekiranya mahu Umno terus kekal relevan.

"Kita kena jaga kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat," katanya.

Ketika mengulas mengenai kesediaan Umno untuk menjalin kerjasama politik atau tahalul siyasi dengan PAS, Dr Mahathir berkata ia telah lama menjadi cita-cita Umno.

"PAS asalnya adalah Ulama' Umno juga tapi kalau nak jalin kerjasama hendaklah pastikan kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi matlamat dan perjuangan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain