suria

Polis Pulau Pinang Siasat Dakwaan Sindiket Pelacuran Guna Pelajar Asing

A.Thaiveegan merasmikan pertandingan Futsal Piala Ketua Polis Pulau Pinang pada Khamis.

BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat sindiket pelacuran yang menggunakan pelajar warga asing sebagai pelacur di George Town.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan berkata setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat berhubung perkara itu.   

"Pihak polis akan siasat perkara itu jika benar ada atau wujud sindiket terbabit...setakat ini pihak Imigresen yang membuat tangkapan ke atas tujuh wanita warga asing yang bekerja sebagai pelacur.

"Kami sedia bekerjasama dengan Imigresen untuk menjalankan siasatan kes itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan Futsal Piala Ketua Polis Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar yang melaporkan Jabatan Imigresen Pulau Pinang berjaya menahan lima wanita Nigeria dan dua wanita Uganda dalam serbuan di sebuah hotel bajet di George Town, dekat sini Khamis malam.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang Abdul Rahman Hassan dilaporkan berkata siasatan awal mendapati tujuh wanita warga asing berusia 22 hingga 35 tahun itu merupakan pemegang pas pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang.

Semua wanita itu dipercayai aktif menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan di hotel bajet itu sejak beberapa bulan lepas dan berdasarkan siasatan kemungkinan mereka adalah anggota sindiket pelacuran membabitkan pelajar antarabangsa yang didalangi warga tempatan.   

Terdahulu, pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menjuarai kategori lelaki pertandingan futsal berkenaan manakala naib juara dimenangi pasukan IPD Timur Laut B.

Bagi kategori wanita, pasukan IPD Seberang Perai Tengah (SPT) menjuarai kejohanan berkenaan diikuti Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang sebagai naib juara.

Pelacur warga asing

Artikel Sebelum

Artikel Lain