suria

Low Yat 2 Pun OK - Ismail Sabri

Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) diiringi CEO YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa beramah mesra bersama pelajar-pelajar Malaysia Japan Higher Education Program (MJHEP) Yayasan Pelajaran Mara sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-69 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Mara Digital atau Low Yat 2, terpulang kepada orang ramai untuk memanggil dengan nama apa, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau bagaimanapun berkata, pusat teknologi maklumat dan komunikasi itu telah diberi nama dan logo baharu iaitu Mara Digital yang dibuka kepada orang ramai pada Rabu lalu.

"Namanya memang Mara Digital tetapi apa yang orang nak panggil dan hendak dikaitkan dengan pengumuman awal (nama Low Yat 2), kita tak boleh nak kata apa.

"Tapi nama baharu dah diumumkan, logo baharu pun dah ada, jadi kita hendak dikenali sebagai Mara Digital," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama pelajar di bawah Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MHJEP) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa dan timbalannya, Ahmad Adnan.

Ismail Sabri berkata, pusat sehenti berkenaan turut akan dibuka di seluruh negara dan masih mengekalkan nama Mara Digital.

"Jadi eloklah dipanggil Mara Digital tetapi saya tak halang kalau hendak panggil Low Yat 2," katanya.

Idea penubuhan Mara Digital atau sebelum itu dikenali sebagai 'Low Yat 2' seakan-akan Plaza Low Yat bagi memberi peluang kepada usahawan Bumiputera menceburi sektor teknologi maklumat dan komunikasi.

Ismail Sabri berkata, sambutan orang ramai terhadap Mara Digital amat menggalakkan dan berharap perkembangan positif itu akan berterusan.

Ditanya mengenai kebimbangan terhadap penjualan barangan tiruan, beliau berkata, pemantauan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Tambah Ismail Sabri, kementeriannya hanya memberi nasihat semasa memberikan peluang kepada peniaga untuk berniaga di pusat itu dengan mensyaratkan penjualan barangan asli.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain