suria

Lelaki Maut, Kereta Dinaiki Jatuh Gaung

LANGKAWI: Seorang penumpang lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya bersama dua lagi rakannya terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter di Jalan Bukit Gaong di sini, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Dr Che Ghazali Che Awang berkata dalam kejadian pada 12.06 tengah malam itu, Mohamad Amar Zakuan Zahri, 28, yang tersepit di tempat duduk belakang, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Menurutnya mangsa bersama-sama pemandu Hamizi Othman, 36, dan seorang lagi penumpang, Hamzah Zakaria, 53, sedang dalam perjalanan dari Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ke pekan Kuah, sebelum kereta mereka hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung berkenaan.

Che Ghazali berkata, impak daripada kemalangan itu, menyebabkan Mohamad Amar Zakuan mengalami kecederaan parah di kepala sementara Hamizi dilaporkan tidak sedarkan diri.

Hamzah bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
jatuh gaung, kemalangan

Artikel Lain