suria

Suri Rumah Temui Bayi Masih Hidup Di Dalam Parit

SUNGAI PETANI: Tangisan bayi yang didengar oleh seorang suri rumah berjaya menyelamatkan bayi lelaki itu daripada maut selepas ditinggalkan di dalam parit di Taman Cendana, dekat sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, bayi itu ditemui di dalam parit di belakang rumah saksi pada 1.30 tengah hari tadi dan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 15 minit kemudian.

"Saksi yang juga pemilik rumah terbabit, menghubungi talian kecemasan 999, memaklumkan mengenai penemuan bayi lelaki terbabit.

"Saksi mendakwa berada di dapur untuk memasak dan terdengar tangisan bayi di luar rumahnya, namun menyangka ia tangisan anak jirannya bagaimanapun selepas keluar dari rumah, dia menemui seorang bayi ditinggalkan di dalam parit dengan dibaluti kain tuala putih," katanya kepada Bernama, Rabu.

Md Zukir berkata bayi lelaki yang belum dapat dikenal pasti identitinya itu kini ditempatkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan ibu kepada bayi terbabit, dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.-- Bernama


Artikel Lain