suria

Polis Siasat Dakwaan Penganjur Skuasy Wanita Dunia

Law Hong Soon.

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penganjur Kejohanan Skuasy Wanita Dunia, Kumpulan Hallmarks Events yang mendakwa kejohanan yang akan diadakan di sini pada 11-18 Disember, ditangguhkan kerana kebimbangan terhadap keselamatan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon, berkata pihaknya sudah berjumpa dengan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) berhubung kenyataan Kumpulan Hallmark Events.

Polis memandang serius dakwaan berkenaan kerana penganjur kejohanan itu mengeluarkan kenyataan mengenai isu keselamatan tanpa merujuk kepada pihak polis.

"Tiba-tiba mereka (Kumpulan Hallmark Events) keluarkan kenyataan sebegitu tanpa rujuk kepada kita sama ada keselamatan atau ketenteraman awam ini boleh menjejaskan keselamatan pemain-pemain skuasy...bagi saya itu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Bagaimanapun, kita akan menyiasat dari mana mereka dapat maklumat itu dan mengapa keluarkan kenyataan sebegitu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, Isnin.

Menurut laporan, Persatuan Skuasy Profesional (PSA) mengesahkan bahawa Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2015 berdepan dengan ketidakpastian selepas menerima e-mel daripada Kumpulan Hallmark Events yang mencadangkan penangguhan atas alasan keselamatan.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam entri laman Facebook, mengarahkan Kementerian Belia dan Sukan dan polis untuk mendapatkan penjelasan dari penganjur berhubung ancaman keselamatan itu.

Kumpulan Hallmark Events adalah syarikat pengurusan acara antarabangsa untuk Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2014, 2015 dan 2016.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pula dilaporkan berkata penangguhan kejohanan itu atas alasan keselamatan nyata sesuatu yang tidak masuk akal memandang Malaysia baharu saja menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 yang antara lain turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Sementara itu, mengenai tujuh anggota polis yang terlibat dalam kes penculikan seorang ahli perniagaan warga Iran pada 23 November lepas, Law berkata pihaknya menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, keputusan belum dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, sama ada mereka terbabit akan dituduh atau sebaliknya. 

"Sekiranya, dituduh kami akan siasat di bawah pelanggaran tatatertib jabatan dan akan ambil tindakan," katanya.

Polis pada minggu lepas mengumumkan sebanyak 15 individu termasuk tujuh anggota polis ditahan dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang ahli perniagaan warga Iran pada 23 November lepas yang dibebaskan dua hari selepas itu.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, ahli perniagaan industri minyak dan gas itu telah diculik di Jalan Ampang Hilir di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dari Januari sehingga November 2015 seramai dua pegawai kanan, 220 pegawai rendah polis dan dua pegawai awam disiasat mengikut kesalahan tatatertib. 

Kesalahan yang dilakukan lebih melibatkan ketidakhadiran bertugas atau pembolosan. - BERNAMA


PSA, skuasy wanita dunia, PDRM

Artikel Lain