suria

Jaga Adab, Patuhi Arahan Jika Ingin Hadir PAU 2015 - Rauf

Ab Rauf Yusoh membuat tinjauan akhir menjelang Perhimpunan Agung UMNO ke-69 yang bermula pada Selasa hingga Sabtu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiada sekatan terhadap kumpulan dan penyokong pemimpin tertentu dalam Umno untuk menghadiri perhimpunan agung tahunan parti itu yang akan bermula pada Selasa.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh bagaimanapun mengingatkan kumpulan berkenaan supaya mematuhi arahan khususnya membabitkan kawalan keselamatan yang ditetapkan pihak pengurusan parti.

"Siapa yang mempunyai pengikut, mereka boleh hadir memeriahkan perhimpunan agung dengan adab dan tatasusila Umno yang kita jaga sejak dulu.

"Kita alu-alukan siapa juga yang hadir tapi harus patuhi apa jua arahan daripada pengurusan dan semangat perjuangan parti perlu ditetapkan sebelum hadir," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai persediaan parti itu berhadapan insiden tidak diingini yang berkemungkinan dicetuskan penyokong pemimpin tertentu dalam parti itu sendiri sepanjang Perhimpunan Agung Umno 2015 yang berlangsung dari 8 hingga 12 Disember ini.

Selain itu Ab Rauf juga menafikan hasrat bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk hadir ke Perhimpunan Agung Umno 2015 menjadi punca parti itu meningkatkan kawalan keselamatan.

"Kawalan keselamatan dibuat bukan disebabkan oleh kehadiran Tun Mahathir. Kita sebenarnya mengalu-alukan kehadiran beliau.

"Surat jemputan rasmi telah dihantar, ia menunjukkan kita meraikan kehadiran beliau ke perhimpunan kali ini tanpa prejudis," katanya.

Sebelum ini Naib Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata bahawa bekas perdana menteri itu patut menghadiri PAU 2015.

Ahmad Zahid berkata Dr Mahathir perlu hadir kerana ahli parti masih menghormati beliau sebagai bekas presiden Umno.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat susulan tulisan Dr Mahathir dalam blognya bahawa terdapat usaha menutup mulut dan menghalang beliau daripada bertemu ahli-ahli Umno dan orang ramai.

Ab Rauf Yusoh, Umno

Artikel Lain