suria

Saya Akan Kembali, Kata Shafie Kepada Nazir

PETALING JAYA: Pertemuan yang tidak dijangka antara Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dibaratkan umpama perjumpaan sahabat lama.

Naib Presiden Umno itu secara tidak sengaja bertembung dengan Nazir yang juga adik kepada presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Rabu.

Menurut sumber, kedua-duanya berjumpa semasa tiba di KLIA tanpa menyedari mereka sebenarnya secara kebetulan menaiki penerbangan yang sama dari London.

“Mereka jumpa di KLIA. Sudah tentu Shafie gembira jumpa Nazir. Perbualan kedua-dua mereka lebih kepada bertanya khabar. Nazir menyifatkan Shafie sebagai kawan lama.

“Shafie secara berseloroh mengatakan beliau “menganggur” dan akan terus berkhidmat kepada rakyat di Semporna,” katanya kepada mStar Online sambil merujuk Shafie sebagai Ahli Parlimen Semporna.

Nazir turut merakamkan pertemuan itu dan memuat naik gambar mereka di laman sosial Instagram milik beliau @nazir.razak dengan kapsyen “Bertembung dengan sahabat lama dari Sabah. Dia kata dia baharu menganggur.”

Menurut sumber, Shafie yang “menganggur” itu masih mengikuti isu dan keadaan semasa terutama menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang akan berlangsung minggu depan.

“Shafie beritahu Nazir bahawa beliau akan kembali pada PAU 2015 selepas balik kawasan. Perwakilan Umno Semporna juga akan datang,” kata sumber yang rapat dengan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Shafie berada di United Kingdom bagi meluangkan masa bersama anak-anaknya di sana selepas mengerjakan umrah.

Menurut sumber itu lagi, ramai di KLIA yang melihat pertemuan ‘jejak kasih’ itu terkejut kerana beranggapan Shafie bersama perdana menteri tetapi sebenarnya beliau dengan Nazir.

Bagaimanapun sumber memaklumkan tidak banyak yang dibualkan mereka, namun Nazir ada berpesan untuk berhubung lagi.

Ditanya adakah kedua-duanya ada berbual mengenai Najib atau isu berkaitan perdana menteri, sumber itu berkata: “Tak ada, pertemuan mereka hanya secara kasual, masing-masing dalam keadaan ceria berjumpa antara satu sama lain. Hanya bertanya khabar.”

Mengenai PAU 2015, Shafie baru-baru ini berkata, adalah tidak wajar apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno menidakkan tradisi Umno selama ini di mana timbalan presiden akan berucap pada majlis pelancaran sayap-sayap parti pada Perhimpunan Agung Umno.

Shafie bagaimanapun menghormati kehendak parti mengenai ketua-ketua sayap untuk merasmikan sendiri persidangan sayap, dengan menyifatkannya sebagai satu keputusan kolektif.

"Kalau itulah kehendak ketua-ketua sayap yang lebih arif tentang perjuangan dan memahami perjuangan Umno lebih daripada pemimpin yang lebih berpengalaman, saya hormati keputusan kolektif tersebut.

"Tetapi sekurang-kurangnya takkanlah timbalan presiden dan naib-naib presiden tidak boleh berucap dalam penggulungan?," soalnya.

Shafie Apdal, Nazir Razak

Artikel Lain