suria

Mayat Ketiga Mangsa Lemas Sungai Kuyoh Ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat terakhir kanak-kanak mangsa lemas di Sungai Kuyoh, Joe Jerry Primus, ditemui berhampiran tasik Muhibbah, Cheras di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata, mayat kanak-kanak berusia 12 tahun itu ditemui pada 5.45 petang oleh pasukan mencari yang menaiki helikopter Tentera Darat Malaysia.

"Bapa mangsa mengesahkan mayat yang ditemui di sungai berkenaan adalah mayat anaknya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, pada 10.10 pagi, mayat seorang lagi kanak-kanak, Joshnuel Usin, 9, ditemui di Sungai Kuyoh berdekatan Kem Perdana Sungai Besi di sini, kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang akibat arus deras. 

Pada Selasa, mayat Remy Julian Raymond Joe, 14, ditemui di Tasik Muhibbah pada 10.30 pagi, kira-kira 20 km dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Chong berkata, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat.

"Jasad mangsa akan dibawa ke Sabah dengan pesawat MAS Kargo sebelum kebumikan di Kampung Linsudan, Keningau esok," katanya. 

Operasi mencari dan menyelamat ketiga-tiga mangsa disertai 182 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Isnin lalu, Joe, Joshnuel dan Remy merupakan antara lapan remaja dan kanak-kanak yang pergi memancing di sungai berkenaan.

Namun, ketiga-tiga mereka hilang selepas dibawa arus deras manakala lima yang lain terselamat. - Bernama

Artikel Sebelum

Sesat Setelah Melontar Aqabah

Artikel Lain