suria

SPRM Siasat Empat Pegawai - Ali Hamsa

PUTRAJAYA: Empat pegawai daripada tiga kementerian yang terlibat dalam dua projek yang menerima teguran punitif dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2014 Siri 3 kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Beliau berkata, pegawai-pegawai daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan itu juga disiasat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan tatatertib.

Kes terbabit adalah kes pengurusan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak dan projek menaik taraf Hospital Nora Ismail, Batu Pahat di Johor, iaitu dua daripada 12 teguran punitif yang diterima dalam LKAN Tahun 2014 Siri 3.

"Pihak SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap empat pegawai daripada kementerian terbabit kerana disyaki ada unsur-unsur perlakuan rasuah.

"Siasatan ini berjalan secara serentak. Jika didapati bersalah, mereka akan didakwa di mahkamah. Kalau tidak ada kes, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk tindakan tatatertib," katanya pada sesi bersama media berhubung tindakan susulan LKAN Tahun 2014 Siri 3 di sini, Rabu.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta badan berkanun persekutuan.

Ali berkata, berdasarkan siasatan juga, dua teguran di Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pendidikan telah melibatkan kerugian di pihak kerajaan sebanyak RM501,524.33. 

Daripada jumlah itu, ia melibatkan kerugian kerajaan sebanyak RM416,433.33 bagi kes Pengurusan Kerja Awalan melalui kontrak kerja di Kementerian Kerja Raya; RM85,091 untuk pengurusan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama; dan kemudahan lain yang berkaitan di Kementerian Pendidikan, katanya.

"Kerugian adalah berikutan pembayaran yang dibuat tidak mengikut spesifikasi kontrak. Teguran-teguran lain tidak melibatkan kerugian kewangan sebaliknya kesalahan yang berlaku adalah akibat ketidakpatuhan kepada peraturan kewangan," katanya.

Mengenai status teguran punitif Siri 1 dan Siri 2 LKAN Tahun 2014, Ali berkata, 16 pegawai di kementerian telah dimulakan prosiding tatatertib, yang mana sembilan diputuskan hukuman oleh Lembaga Tatatertib melibatkan hukuman amaran sehingga turun pangkat.

Selain itu, seorang pegawai sedang dalam pertimbangan untuk tujuan buang kerja atau turun pangkat dan enam pegawai dalam proses penentuan hukuman.

"Di peringkat Badan Berkanun Persekutuan, daripada 30 pegawai yang dinamakan, 17 pegawai dalam prosiding tatatertib manakala 13 pegawai telah dibebaskan.

"Di samping itu, bagi 931 teguran pembetulan, 69.3 peratus atau 645 teguran telah selesai diambil tindakan penambahbaikan dan 30.7 peratus atau 286 teguran masih dalam tindakan," katanya. 

Ketika ditanya mengenai jumlah kes dan tindakan displin bagi LKAN Tahun 2013 Siri 3, Mohamad Zabidi berkata sebanyak 211 teguran yang melibatkan 339 orang pegawai telah dikenal pasti untuk dimulakan prosiding tatatertib.

Katanya, Lembaga Tatatertib setelah meneliti fakta kes dan representasi pegawai, memutuskan 132 pegawai dikenakan hukuman dan 200 pegawai lagi dibebaskan dan tujuh pegawai masih dalam prosiding tatatertib.

"Kami beri jaminan bahawa kami sedang mengambil tindakan. Daripada 132 pegawai, seorang pegawai dibuang kerja, turun gaji (tiga pegawai), tangguh pergerakan gaji (13), denda (tujuh), denda dan surcaj (dua), amaran dan tangguh pergerakan gaji (satu) dan amaran dan denda (dua), amaran dan surcaj (sembilan), amaran (65), surcaj (29 pegawai)" kata Mohamad Zabidi. 

Menyentuh mengenai jumlah surcaj yang dikenakan ke atas pegawai terbabit, Ali berkata, ia membabitkan kira-kira RM80,000.

Ditanya bagaimana kerajaan akan mendapat semua surcaj tersebut, Ali berkata: "Pada dasarnya kami mempunyai formula untuk menggunakan surcaj. Kami tidak akan memperoleh semula jumlah yang tepat. Ia biasanya diberi balik sebagai saguhati dan kami hanya mendapat sebahagian kecil sahaja.

"Sebagai contoh, jika jumlahnya RM500,000, dan selepas proses yang panjang, pegawai terbabit didapati bersalah, satu daripada hukumannya adalah surcaj.

Dalam kes yang terlalu teruk, hukumannya adalah dipecat dan kami tidak akan memperoleh apa-apa," katanya. - Bernama

SPRM

Artikel Lain