suria

Suspek Kes Samun Bersenjata Mati Ditembak Dekat Taman Templer

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata di kawasan perumahan Taman Templer, Rawang, mati ditembak polis di Persiaran Bukit Takun awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 2.50 pagi itu, kira-kira 10 anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman yang membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan Taman Rimba Komanwel.  

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata, apabila diarahkan untuk memberhentikan kereta, suspek bertindak memecut kereta yang dinaiki mereka.

"Polis mengejar kereta itu sejauh kira-kira lima kilometer sebelum ia terbabas ketika hendak membuat pusingan U di persiaran berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak. 

Beliau berkata, seorang daripada lelaki itu berusia sekitar 30 dan 40-an bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sebelum ditembak mati oleh polis di tempat kejadian.

"Seorang lagi suspek melarikan diri ke arah hutan berdekatan," kata Ali sambil menambah pemeriksaan di dalam kereta itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis semiauto, beg mengandungi barang seperti parang, sarung muka dan pemotong besi.

Tiada pengenalan diri ditemui pada tubuh suspek.

Ali berkata, siasatan awal mendapati kumpulan yang dianggotai kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di Selangor dan Pahang.

"Kita percaya ramai lagi suspek lain yang masih bebas. Mereka dipercayai menyamun penduduk di kawasan perumahan Taman Templer menggunakan parang. Gerakan memburu suspek lain masih lagi diteruskan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Katanya, kes turut disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1972.

Menurut Ali, lima kes samun bersenjata selain empat kes pecah rumah dilaporkan berlaku tahun ini di kawasan perumahan Taman Templer. - Bernama

Artikel Lain