suria

Semua Pihak Sambut Baik Titah Sultan Haramkan Vape

PETALING JAYA: Daripada pihak kesihatan sehinggalah kepada kumpulan berkepentingan, semuanya menyambut baik titah Sultan Johor mengharamkan semua produk vape bermula pada 1 Januari.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tindakan itu selaras dengan sasaran Kerajaan untuk melahirkan generasi Malaysia yang bebas dari tabiat merokok mulai 2045.

Subramaniam menyuarakan penghargaannya kepada Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dengan pengharaman penjualan rokok elektronik dan vape di Johor.

"Ini akan membantu mengawal tabiat merokok dan mengurangkan tabiat bervape yang sudah menjadi tidak terkawal sejak kebelakangan ini," katanya.

Semalam The Star melaporkan Sultan Johor ingin semua kedai vape di Johor ditutup mulai tarikh yang telah diberikan atas faktor kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memuji tindakan Sultan Johor yang bertepatan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menerusi Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau yang memberi cadangan untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan vape.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang berterima kasih kepada Sultan Johor kerana mengharamkan produk itu.

Presidennya S.M. Mohd Idris berkata vape telah menimbulkan banyak masalah dan tindakan Sultan adalah tepat kerana ia membahayakan kepada kanak-kanak.

Tambahnya, tidak perlu tunggu untuk kajian saintifik dibuat kerana masalah itu sudah terbukti.

Felo Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi Dr Helmy Haja Mydin berkata pendirian Sultan mengenai kesihatan tidak perlu dijadikan tebusan kepada kepentingan perniagaan dan politik perkauman sebagai contoh seorang pemimpin mahu menyuarakan kebimbangannya.

"Sebagai rakyat yang lahir di Johor, saya mengalu-alukan pendirian Sultan yang menegaskan untuk menjaga kemakmuran sejagat," jelasnya.

Presiden Malaysian Organisation of Vape Entity (MOVE) Samsul Kamal Ariffin berkata mereka menghormati dengan keputusan itu.

Katanya, MOVE akan tampil untuk Kerajaan mempertimbangkan semula vape ini.

Pengerusi Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Allan Foo berkata dia juga menghormati keputusan yang dibuat.

"Tetapi saya merayu kepada Sultan untuk memberikan tempoh yang lebih panjang atau sekurang-kurangnya sehingga kajian terhadap risiko kesihatan dikeluarkan, jika ada," ujarnya.

Presiden Malaysian E-Juice Brewers Association Muhammad Furqan Hakimi berkata pemberita memperbesarkan isu ini.

"Ia menjadi semakin buruk selepas media memperbesarkan dan isu ini dipolitikkan," kata Furqan.

Vape, Sultan Johor

Artikel Lain