suria

NUTP Gesa Pengurusan IPG Kekal Jadual Cuti Pensyarah

Hashim Adnan
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Institut Pendidikan Guru (IPG) mengekalkan jadual cuti untuk pensyarah institusi itu yang diguna pakai ketika ini, iaitu mengikut kalender cuti sekolah.

Presidennya Hashim Adnan berkata gesaan itu dibuat atas desakan pensyarah IPG sendiri yang mahukan sistem sedia ada diteruskan berikutan ia akan ditukar kepada "cuti rehat tahunan" iaitu 30 hari setahun, mulai 1 Januari tahun depan.

"Di Malaysia terdapat sebanyak 27 IPG dengan kira-kira 4,000 pensyarah, 80 peratus daripadanya merupakan anggota NUTP dan atas desakan itu kita telah membuat kajian yang mana semua tidak bersetuju dengan peraturan baru itu," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini Sabtu.

Beliau menjelaskan waktu belajar di IPG adalah mengikut kalender persekolahan dan jika pensyarah mengambil cuti pada waktu berkenaan, akan timbul masalah untuk menggantikan kelas.

Katanya antara alasan yang diberikan pihak IPG untuk melaksanakan peraturan baru itu ialah kerana pensyarah adalah pegawai kerajaan bergred tinggi berbanding guru sekolah.

"Selain itu, alasan lain (untuk melaksanakan sistem cuti baharu) ialah untuk mentransformasi IPG," katanya.

Dalam perkembangan lain, NUTP juga menggesa peraturan baharu yang mewajibkan pensyarah IPG mempunyai sekurang-kurang Ijazah Sarjana atau Ijazah Doktor Falsafah diteliti semula terutama kepada yang akan bersara dalam masa terdekat.

Tambahnya, melalui peraturan baru itu, pensyarah IPG yang tidak mempunyai ijazah sarjana atau doktor falsafah akan ditukarkan untuk menjadi guru di sekolah.

"Perkara itu boleh dilakukan tetapi perlu dilaksanakan kepada pensyarah baharu manakala yang telah berkhidmat kurang dari lapan tahun pula diberi peluang untuk menyambung pelajaran.

"Bagi yang telah lama berkhidmat sepatutnya diberi kelonggaran kerana menjadi pensyarah dan guru adalah dua perkara yang berbeza," katanya.

NUTP, cuti pensyarah, IPG, Hashim Adnan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain