suria

Pilih Destinasi Percutian Sesuai, Utamakan Keselamatan Pada Musim Tengkujuh

PETALING JAYA: Aspek keselamatan harus diberi perhatian utama apabila merancang percutian bersama keluarga ketika cuaca tidak menentu, kata pensyarah Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hariyati Ariffin.

Katanya, bagi ibu bapa yang ingin membawa anak-anak mereka bercuti, pemilihan tempat yang sesuai penting kerana mungkin ada lokasi yang tidak sesuaipada musim hujan ini.

"Bagi ibu bapa yang sudah rancang percutian dan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, mereka perlu memilih tempat yang sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga.

"Jika mereka mahu berkelah di kawasan air terjun, mereka perlulah memaklumkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu sekiranya tempat yang ditujui itu berisiko dilanda banjir," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Kata Hariyati, aspek keselamatan ini penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Tidak semestinya perlu pergi bercuti di luar, sebaliknya mereka boleh lakukan banyak lagi aktiviti berfaedah di rumah.

"Ibu bapa perlu bijak meluangkan masa bersama anak-anak dengan melakukan aktiviti berfaedah seperti bercerita, memasak dan sebagainya daripada membiarkan mereka leka bermain gajet," ujarnya.

Jelasnya lagi, ibu bapa juga perlu memantau  pergerakan anak-anak terutama ketika hujan kerana mereka mungkin terdedah dengan bahaya.

Bagi yang bercadang untuk bercuti, periksa keadaan kereta, pastikan rumah dikunci dan maklumkan kepada jiran mengenai rumahnya ditinggalkan.

UiTM, Hariyati Ariffin, tengkujuh

Artikel Lain