suria

Wan Ahmad Najmuddin Dilantik Ketua Polis Johor Yang Baharu

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dilantik sebagai Ketua Polis Johor berkuat kuasa 23 Disember ini.

Jawatan tersebut dipangku Ketua Cawangan Khas Johor Datuk Ramli Hassan sejak 3 Nov lepas, selepas mengambil alih tugas daripada Datuk Rusli Ahmad yang kini dilantik sebagai Ketua Urus Setia (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

Wan Ahmad Najmuddin yang dilantik memangku pangkat Pesuruhjaya Polis (CP)merupakan antara 12 individu yang terlibat dalam pertukaran pegawai kanan Polis Diraja Malaysia berkuat kuasa 23 Disember, menurut kenyataan Bukit Aman, di sini, Khamis.

Selain beliau, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Datuk Abd Aziz Yusof dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP).

Menggantikan Abd Aziz ialah Timbalan Komander (Operasi/Risikan) PPM Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rahim Abdullah yang dilantik memangku pangkat SAC.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor, ACP Khairuldin Saad dan Pasir Mas, Kelantan ACP Haliludin Rahim masing-masing dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Pentadbiran) Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Turut terlibat, Ketua Penolong Pengarah Pasukan Gerakan Am (PGA), Bukit Aman ACP Zulkiffli Salleh yang dilantik sebagai Ketua Staf Briged PGA, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC). -- Bernama

Artikel Lain