suria

Hamidah Masih Terkejut Dipecat Umno

IPOH: Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman masih terkejut dengan pemecatan beliau oleh pucuk pimpinan parti.


Hamidah berkata,  beliau hanya mendengar perkara itu apabila beberapa orang wartawan menelefonnya pada malam Selasa.

"Saya tidak menerima sebarang notis rasmi daripada Umno, dan tidak dimaklumkan mengenai keputusan itu.

"Bagaimanapun saya akan mendapat nasihat daripada  rakan-rakan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Hamidah, bekas wakil rakyat dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, memberitahu bahawa beliau akan mengadakan sidang akhbar esok (Jumaat, 27 November) untuk mengumumkan mengenai rancangan masa depan beliau.

Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Lembaga Disiplin Umno sebulat suara bersetuju bahawa Hamidah harus dipecat daripada parti.

Beliau telah menerima surat tunjuk sebab daripada Umno pada 9 September kerana menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk satu sesi dialog Bicara Negarawan di sini.

Hamidah berkata beliau tidak faham mengapa menjadi kesalahan apabila menjemput bekas Perdana Menteri yang masih ahli Umno untuk menyampaikan ceramah.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata biasanya timbalan akan mengambil alih tugas sementara jawatan itu.

"Ia adalah perkara biasa dalam parti, timbalan akan memimpin apabila jawatan ketua itu dikosongkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di pejabatnya pada Rabu.

Dr Zambry juga mengesahkan bahawa ahli-ahli Umno Bahagian Gopeng telah secara langsung menyuarakan rasa tidak puas hati dengan Hamidah kepada kepimpinan parti.

"Kami (kepimpinan parti negeri) tidak terlibat, dan keputusan itu hanya dimaklumkan kepada kami," katanya.

Beliau juga enggan mengulas lanjut sama ada pemecatan itu akan menyebabkan perpecahan di kalangan ahli-ahli negeri di Bahagian Gopeng.

Datuk Hamidah Osman

Artikel Sebelum

Basuh Kereta Bukan Kerja Amah

Artikel Berikut

Artikel Lain