suria

78 Peratus Projek Akujanji Kerajaan Pusat Sejak 2013 Siap Sepenuhnya - ICU

KUALA LUMPUR: Sebanyak 78 peratus atau 3,730 daripada 4,797 keseluruhan projek di bawah projek Akujanji Kerajaan Persekutuan yang mula dilaksanakan pada 2013, telah berjaya disiapkan.

Kesemua 3,730 projek itu bernilai RM17.34 bilion, menurut Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Menurut kenyataan ICU, AkuJanji Kerajaan Persekutuan terdiri daripada 17 inisiatif dan 156 inisiatif strategik yang meliputi 4,797 projek.

"Kesemua projek ini melibatkan program dan projek yang berimpak tinggi, menjamin kesejahteraan rakyat, serta ke arah transformasi perkhidmatan kerajaan," menurut kenyataan itu.

Antara inisiatif tersebut ialah menangani kos sara hidup, meningkatkan kehidupan warga bandar, menyediakan rumah mampu milik, peluang mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti, kecekapan pengangkutan awam, pembangunan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi luar bandar.

Menurut ICU, hanya 992 projek atau kira-kira 21 peratus daripada keseluruhan projek, bernilai RM261.33 bilion berada pada peringkat pelaksanaan.

Menurut kenyataan itu, secara keseluruhannya kerajaan amat berpuas hati dengan pencapaian semasa AkuJanji Kerajaan Persekutuan iaitu pencapaian keseluruhan 17 inisiatif adalah sebanyak 95.4 peratus. 

"Kerajaan masih mempunyai baki tiga tahun lagi untuk meneruskan kesemua inisiatif tersebut dan yakin semua projek dapat dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2018," menurut ICU.

Antara inisiatif yang telah berjaya dilaksanakan dan akan diteruskan adalah seperti Program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang sehingga kini terdapat 170 KR1M beroperasi seluruh negara dengan nilai transaksi niaga melebihi RM585 juta.

Selain itu, sebanyak 150 buah Klinik 1Malaysia telah dibuka di seluruh negara dan kewujudannya telah menambah baik perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.

Terdahulu pada pagi ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan AkuJanji Kerajaan Persekutuan di bangunan Menara Parlimen, di sini.

Mesyuarat itu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup serta ketua-ketua setiausaha kementerian bertujuan membincangkan perkembangan semasa akujanji tersebut.

Pembentukan jawatankuasa itu merupakan komitmen untuk memastikan kesemua janji-janji kerajaan Persekutuan semasa Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 lalu dilaksanakan sepenuhnya.-- Bernama


ICU, AkuJanji

Artikel Lain