suria

Pengusaha Taska Tak Boleh Ambil Pengasuh Warga Asing - KPWKM

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) tidak dibenarkan untuk mengambil pengasuh dari kalangan warga asing, Dewan Rakyat diberitahu, Rabu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan 14 Peraturan-peraturan Taska 2012, adalah menjadi satu daripada syarat bagi pengusaha Taska menggunakan pengasuh warga tempatan.

Akta dan peraturan itu juga menghendaki semua pengasuh hadir dan lulus Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata serta berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya.

"Jika kita dapati ada pengusaha Taska yang gagal mengikuti peraturan ini, mereka boleh didenda sehingga tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya ketika menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu).

Che Mohamad mahu kementerian menyatakan sejauh mana dakwaan terdapat pengusaha Taska yang mengambil warga asing sebagai pengasuh di negara ini, serta apakah tindakan undang-undang yang diambil terhadap pengusaha berhubung isu tersebut.

Azizah yang juga anggota Parlimen Beaufort berkata setakat ini tiada sebarang aduan berkenaan Taska yang mengambil pengasuh warga asing.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wujudnya Taska yang mengambil pengasuh warga asing boleh terus melaporkannya di JKM yang terdekat. 

"Orang ramai juga boleh membuat aduan melalui talian 15999," katanya.

Azizah berkata sehingga kini terdapat 10 kes pengusaha Taska didakwa kebanyakannya kerana kesalahan tidak berdaftar dengan JKM.

Katanya JKM mengadakan pemantauan berkala sebanyak empat kali setahun terhadap Taska yang berdaftar di bawah JKM dan pemantauan mengejut sekiranya terdapat laporan salah laku daripada orang awam terhadap Taska berkenaan.

Sementara itu, bagi menggalakkan lebih banyak Taska dibina bagi membantu ibu bekerja, kementerian telah menubuhkan satu 'task force' yang antara lain untuk menambah baik perkhidmatan Taska di negara ini.

"Antaranya kita bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar,  Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar memasukkan pembinaan Taska dalam pelan pembangunan penempatan baharu," kata Azizah.

Artikel Lain