suria

Matta Gesa Lapangan Terbang Dilengkapi Pengimbas Badan Penuh

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia mencadangkan agar alat pengimbas badan penuh digunakan di lapangan terbang di negara ini berbanding menggunakan kaedah raba periksa terhadap penumpang.

Presiden MATTA Datuk Hamzah Rahmat berkata tindakan anggota keselamatan menahan dan menjalankan raba periksa boleh memberi gambaran kepada penumpang bahawa mereka disyaki melakukan sesuatu.

"Memandangkan keselamatan seharusnya menjadi keutamaan, anggota polis di lapangan terbang kita perlu dilengkapi dengan alat pengimbas dan tidak menggunakan tangan untuk meraba tubuh seseorang. Pemeriksaan secara meraba oleh seseorang pegawai lelaki boleh menimbulkan bantahan dan tidak boleh diterima kebanyakan orang.

"Bagaimanapun, mereka akan menghargai jika alat pengimbas digunakan, malah berterima kasih berikutan langkah keselamatan yang dilaksanakan," katanya dalam kenyataan Rabu.

MATTA membangkitkan cadangan itu berikutan soalan yang diajukan di Dewan Rakyat kepada Menteri Pengangkutan oleh Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) tentang mengapa pemeriksaan keselamatan terhadap anggota badan penumpang sebelum menaiki pesawat dilakukan menggunakan tangan, sedangkan ia sepatutnya dilakukan menggunakan pengimbas badan.

Ketika menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata perkara itu akan dibawa kepada perhatian Malaysia Airports Holdings Bhd.

Susulan percubaan mengebom syarikat penerbangan sejak tahun 2000, sokongan timbul supaya alat pengimbas badan penuh ditempatkan di beberapa lapangan terbang antarabangsa memandangkan ia berkeupayaan mengesan objek bukan logam yang juga dianggap sebagai ancaman.

Namun begitu, meskipun terdapat alat pengesan yang tidak memerlukan penumpang menanggalkan pakaian atau tertakluk kepada sentuhan fizikal, ada pihak yang membantah apabila gambar bogel mereka terpampang kepada pegawai yang membuat imbasan atau dirakam oleh kerajaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain