suria

Gambar Dan Kapsyen Bak Kut Teh Boleh Timbulkan Kontroversi

Gambar fail Alvin Tan (kanan) dan Vivan Lee.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Selasa memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa tindakan blogger kontroversi, Alvin Tan dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee, menyiarkan gambar dengan kapsyen "Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' di laman Facebook mereka, boleh menimbulkan kontroversi di kalangan masyarakat di negara ini. 

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Lokman Ab Rahman berkata, perbuatan itu itu juga boleh memberi kesan bahaya selain mengelirukan umat Islam.

Beliau berkata, tindakan pasangan itu merupakan satu penghinaan terhadap umat Islam kerana dilakukan pada Ramadan iaitu bulan mulia dalam masyarakat Islam.

Ketika ditanya apa yang dimaksudkan Bak Kut Teh, Lokman berkata berdasarkan pemahaman dan penyelidikannya serta kajian masyarakat Cina, ia adalah istilah masyarakat Tibet dan Hokkie yang membawa maksud daging babi, tulang dan teh.

Lokman merupakan saksi keenam perbicaraan kes Alvin Tan atau Tan Jye Yee, dan Vivian Lee atau Lee May Ling yang didakwa menyiarkan gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen yang bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' dan mengandungi logo halal, di laman Facebook mereka.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan tersebut pada 9 pagi, 12 Julai 2013, mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.

Mereka turut didakwa terhadap pertuduhan menyiarkan gambar pornografi dalam laman Facebook sama mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara 9 malam 6 Julai 2013 dan 2 pagi 7 Julai 2013.

Ketika ditanya sama ada beliau prejudis terhadap masyarakat Cina berikutan istilah itu, Lokman menafikannya sambil menjelaskan perkataan Bak Kut Teh tetap dikategorikan sebagai tidak halal walaupun ia hanya istilah.

Menurutnya, Jakim menolak banyak permohonan bagi mendapatkan sijil dan logo halal untuk penggunaan istilah itu (Bak Kut Teh) kerana keputusan dibuat berdasarkan hukum syarak dan kaedah fiqh yang ditetapkan hukum Islam. 

"Isu prejudis tidak timbul terhadap masyarakat Cina kerana Jakim telah meluluskan 70 peratus permohonan pengusaha premis bukan Islam untuk mendapatkan sijil dan logo halal.

"Permohonan yang ditolak dibuat berdasarkan pekeliling persijilan halal Malaysia mengikut Bilangan 2 Tahun 2014 iaitu menyatakan produk yang menggunakan mana-mana atau istilah yang mengelirukan seperti Bak Kut Teh tidak layak mendapat logo dan sijil halal,"jelas beliau.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nur Faida Mohd Rasidee mengenai logo halal yang terdapat dalam gambar pasangan itu, Lokman berkata, Jakim tidak lagi menggunakan logo halal seperti yang dipaparkan pasangan itu dalam Facebook. 

Jakim menyifatkan logo yang digunakan dalam gambar itu sebagai tidak sah dan menipu serta mengelirukan pengguna, katanya.

Sementara itu, Editor The Star Online, Philip Golingai berkata, bahan yang digunakan dalam Bak Kut Teh ialah babi.

"Tidak akan ada Bak Kut Teh yang halal kecuali Kut Teh Ayam dan Kut Teh Itik," katanya.

Menurutnya, paparan dalam facebook pasangan itu seolah-olah mempelawa umat Islam menjamu selera dengan Bak Kut Teh.

Philip berkata, beliau telah menghubungi Tan untuk bertanya mengapa dia (Tan) memuat naik gambar dan kapsyen itu, dan Tan berkata dia berbuat demikian sekadar gurauan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud bersambung pada Rabu. - Bernama

Alvin Tan, Vivian Lee, Bak Kut Teh

Artikel Sebelum

Ketua Wanita Umno Gopeng Dipecat

Artikel Lain