suria

Kenyataan TPM Tidak Berasas - Tian Chua

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menggesa timbalan perdana menteri menarik balik kenyataan yang mendakwa beliau sebagai dalang pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III iaitu Jacel H Kiram.

Beliau turut menyifatkan kenyataan yang dibuat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri itu adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

"Sebagai menteri dalam negeri, dia sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bertanggungjawab.

"Kalau tidak, ia merupakan satu hujah yang tidak berasas dan tidak memberi satu imej yang positif kepada keselamatan negara," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Pada Isnin, Ahmad Zahid mendakwa demikian ketika ditemui pemberita selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di ibu negara.

Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, beliau akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya tetapi ketika ini menyeru supaya kenyataan Ahmad Zahid itu ditarik balik.

Ditanya adakah terdapat tempoh yang diberikan untuk penarikan itu, Chua berkata, ia perlu dibuat dalam masa yang munasabah.

Chua berharap dakwaan terhadap beliau ketika ini tidak akan mengulangi kes lain di mana beliau pernah didakwa berkaitan insiden pencerobohan di Lahad Datu dua tahun lalu namun kemudiannya memenangi kes tersebut.

Chua merujuk kepada kes Umno pada Januari 2014 yang menarik balik saman fitnah terhadap beliau yang sebelum ini mengaitkan parti itu dengan pencerobohan Lahad Datu oleh kumpulan pengganas Sulu, menerusi penyelesaian luar mahkamah yang dicapai kedua-dua pihak.

Chua sekali lagi mengulangi penjelasan Nurul Izzah mengenai kehadiran mereka di Filipina di atas undangan pihak pelbagai parti politik di negara itu.

"Tujuan kita berada di sana untuk membawa isu yang membawa kesedaran kepada rakyat Filipina dan kalangan ahli-ahli politik mengenai hak asasi manusia dan isu kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Chua.

KDN, Lahad Datu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain