suria

Tun M Sindir Kursus Kahwin Yapeim Di Paris

Dr Mahathir ketika melancarkan buku tulisan Zaid Ibrahim berjudul Assalamualaikum, pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan sinis terhadap kursus kahwin yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di Paris.

Katanya, rombongan yayasan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu lebih untuk 'belajar' mengenai isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

"Bila mereka pergi Paris boleh tengok banyak LGBT.

"Mungkin dia nak belajar apa itu LGBT di sana," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku tulisan bekas Menteri di JPM, Datuk Zaid Ibrahim berjudul "Assalamualaikum" di sini, Jumaat.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai dakwaan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) bahawa Yapeim telah membelanjakan sebanyak RM290,000 dana anak yatim untuk program "Simposium Perdana Paris: Isu Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahawanan dan Pengurusan selama 14 hari pada hujung Disember 2104 dan awal Januari 2015.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata program itu adalah sebahagian daripada aktiviti yayasan untuk membendung LGBT di Malaysia.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat banyak kritikan yang mendakwa bahawa tiada apa yang dilakukan bagi menangani isu-isu seperti budaya LGBT, sampai ke satu tahap kita melihat ada pelajar-pelajar kita di UK memuatkan (upload) gambar lelaki mencium satu sama lain di bibir," katanya memberitahu Dewan Rakyat.

"Kami telah ditanya apa yang kerajaan lakukan mengenai LGBT dan ini adalah salah satu daripada pelbagai aktiviti yang telah kita dianjurkan bagi menangani isu tersebut," katanya ketika menggulung perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat baru-baru ini.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain