suria

Satu Lorong KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak Ditutup

KUANTAN: Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Anih Berhad memaklumkan penutupan satu lorong di Kilometer (Km) 52.4 bagi kerja pembaikan dan pencegahan susulan kejadian banjir lumpur yang berlaku 11 November lalu.

Dalam satu kenyataan di sini, Jumaat, Anih Berhad berkata penutupan lorong perlahan menghala ke Kuala Lumpur itu telah bermula 16 Nov lalu dan hanya akan dibuka semula selepas semua kerja-kerja itu selesai.

"Pada masa sekarang, hanya satu lorong sahaja yang boleh dilalui trafik.

Sempena dengan cuti sekolah pada 21 November ini, pengguna ke Kuala Lumpur dinasihatkan berhati-hati melalui kawasan berkenaan dan mematuhi arahan yang disediakan," kata kenyataan itu.

Anih Berhad juga menasihatkan pengguna merancang perjalanan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu. 

Anih Berhad turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna. 

Kejadian banjir lumpur di Km52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang 11 November itu menyebabkan kedua-dua arah tidak boleh dilalui dan hanya dibuka semula sepenuhnya pada Ahad lepas. 

Kejadian itu turut menjejaskan 14 keluarga membabitkan 73 orang di kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang terpaksa dipindahkan ke Masjid Lentang.

-- Bernama
Karak, Anih Berhad, Lentang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain