suria

AS Mahu Tingkatkan Hubungan Di Rantau Asean - Obama

Obama pada sesi Town Hall di alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di sebuah universiti di Subang Jaya.

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara ketika Washington memandang rantau itu sebagai elemen penting dalam dasar luarnya, kata Presiden Barack Obama.

Justeru, katanya negara itu akan berusaha meningkatkan interaksi dengan masyarakat dan institusi-institusi di Asean.

"Amerika Syarikat perlu menjadi rakan perkongsian dengan negara-negara di rantau ini demi masa depan bersama. Asia Tenggara merupakan elemen penting dalam dasar hubungan luar Amerika Syarikat," katanya.

Obama berkata demikian pada mesyuarat 'town hall' bersama lebih 500 peserta daripada alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di sebuah universiti swasta di Subang Jaya, dekat ibu negara, Jumaat.

Pertemuan tersebut merupakan acara pertama selepas beliau tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Berkaitan ASEAN sempena Sidang Kemuncak Asean ke-27.

Menurut Obama, urusan perdagangan berkaitan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) merupakan salah satu contoh rakan perkongsian dan hubungan antara Amerika Syarikat dan negara-negara di rantau ini.

Presiden itu, yang melakukan lawatan kedua ke Malaysia selepas April tahun lepas, turut menyentuh keperluan untuk melindungi hak asasi manusia dan demokrasi di rantau Asia Tenggara.

Beliau turut memuji Myanmar atas kejayaan negara itu mengadakan pilihan raya secara damai dan menyifatkan ia sebagai langkah penting ke arah membentuk sebuah negara yang lebih aman, makmur dan berdemokrasi.-- Bernama

Barack Obama, AS, Asean

Artikel Lain