suria

Tiada Bahan Terlarang Dalam Cecair Vape

PUTRAJAYA: Pemain industri vape mengancam untuk menyaman mana-mana pihak, termasuk Kementerian Kesihatan berhubung dakwaan bahawa pengguna vape telah mencampurkan bahan terlarang seperti dadah dalam cecair vape.

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (Ikhlas) berkata mereka terpaksa mengambil langkah drastik seperti itu untuk menolak 'tuduhan tidak berasas' yang secara ketara menjejaskan industri vape.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah berkata dakwaan itu akan menjejaskan imej industri yang sebahagian besarnya dikuasai oleh Bumiputera.

"Apabila mereka mendakwa cecair vape telah dicampurkan dengan dadah, adakah mereka mengatakan bahawa orang Melayu adalah penagih dadah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, Selasa.

Mohd Ridzuan berkata demikian sebagai mengulas laporan yang memetik anggota exco kerajaan negeri yang berkata pengguna vape di Johor telah mencampurkan cecairnya dengan dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahman dilaporkan berkata bahawa jus vape telah dicampur dengan bahan terlarang seperti syabu, ganja dan jus ketum.

Polis berkata mereka masih belum menerima laporan mengenai perkara itu, tetapi masih menyiasat dakwaan tersebut.

Walaupun kabinet telah memutuskan untuk tidak mengharamkan vape, Kementerian Kesihatan dilihat telah mengambil pendekatan bercanggah, apabila menjalankan serbuan ke atas kedai vape dan merampas cecair yang mengandungi nikotin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata cecair vape dengan nikotin hanya boleh dijual di farmasi berlesen dan pengamal berdaftar, kerana penjualan nikotin tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan di bawah Akta Racun 1952.

Mohd Ridzuan berkata Ikhlas mewakili pengguna dan 1,000 peruncit vape di seluruh negara, membantah peraturan yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan kerana ia akan membunuh perniagaan tempatan.

"Kami menyeru kepada kerajaan untuk mengkaji semula keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan untuk menghadkan penjualan cecair vape yang mengandungi nikotin," katanya.

Beliau kemudiannya memberi amaran kepada Kementerian Kesihatan dan Noor Hisham untuk tidak membuat sebarang 'kenyataan karut'.

"Kami akan melantik dua orang peguam dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukannya. Kami akan mengheret mereka ke mahkamah," katanya.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang telah membuat tuntutan yang tidak berasas itu, kerana mereka mungkin telah "terhutang budi" dengan syarikat-syarikat tembakau besar yang mana keuntungan mereka mungkin terjejas kerana pengurangan permintaan terhadap rokok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain