suria

Pencapaian UPSR Di Seluruh Negara Memberangsangkan

Sebahagian 81 murid Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang 5A dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumum pada Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pencapaian keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 di seluruh negara memberangsangkan dengan kebanyakan negeri mencatat peningkatan dalam keputusan ujian berkenaan.

Jumlah murid yang mendapat keputusan cemerlang semua Gred A juga meningkat kepada 38,344 orang berbanding pencapaian 36,304 pelajar daripada 460,407 calon yang menduduki UPSR pada tahun lepas.

Di PUTRAJAYA, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata daripada 443,407 calon menduduki UPSR pada tahun ini jumlah murid yang mendapat semua Gred A meningkat 0.76 peratus, iaitu daripada 7.89 peratus pada tahun 2014 kepada 8.65 peratus tahun ini.

Di TERENGGANU, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin berkata 2,558 daripada 20,121 calon UPSR di Terengganu meraih keputusan cemerlang 5A pada tahun ini dengan pencapaian 12.70 peratus berbanding 12.10 peratus tahun lalu.

Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah berkata seramai 3,527 (11.70 peratus) daripada 30,139 calon yang menduduki UPSR pada tahun ini memperoleh A bagi semua mata pelajaran berbanding 3,600 (11.25 peratus) daripada 31,987 calon pada 2014.

Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan negeri, Shaari Osman berkata seramai 2,430 calon UPSR 2015 di Pulau Pinang memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Di SARAWAK, Pengarah Pendidikan negeri, Rakayah Madon berkata negeri itu mencatat peningkatan yang signifikan dalam keputusan UPSR tahun ini dengan GPN 2.48 berbanding GPN 2.52 dalam ujian yang sama pada 2014.

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari berkata seramai 1,305 daripada keseluruhan 13,330 calon mendapat keputusan semua mata pelajaran A. 
Beliau berkata pencapaian itu meningkat tahun ini berbanding 1,242 calon yang mendapat semua A tahun lepas.

Di PERAK, Pengarah Pendidikan Negeri Rozi Puteh Ismail berkata 2,929 atau 8.34 peratus daripada 35,101 murid yang menduduki UPSR di Perak lulus cemerlang dengan memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Di KEDAH, sebanyak 2,978 atau 9.08 peratus daripada 32,784 pelajar UPSR memperoleh keputusan 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran, kata Pengarah Pendidikan negeri, Datin Azuyah Hassan.

Di NEGERI SEMBILAN, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Pkharuddi Ghazali berkata negeri itu mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik di peringkat kebangsaan dalam keputusan UPSR tahun ini dengan GPN 2.18.

Di SABAH, pencapaian GPN dalam UPSR di Sabah pada tahun ini meningkat kepada 2.62 berbanding 2.72 pada tahun lalu dan purata itu merupakan prestasi tahunan terbaik yang dicapai berbanding lima tahun lalu yang meningkat sebanyak 0.09, kata Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip.

Sementara itu di PAHANG, jumlah pelajar yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran meningkat 1.04 peratus iaitu daripada 2,257 calon tahun lepas kepada 2,439 pada tahun ini, kata Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Rosdi Ismail.

Di PERLIS, Pengarah Pendidikan negeri Roslee Ismail berkata negeri itu mencatat keputusan terbaik dalam tempoh lima tahun lalu bagi peperiksaan UPSR dengan mencatat GPN 2.32 tahun ini berbanding 2.41 tahun lepas, 2.37 (2013), 2.35 (2012) dan 2.39 bagi tahun 2011.

Di SELANGOR, seramai 7,354 atau 8.91 peratus calon UPSR di Selangor memperoleh keputusan 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran, kata Pengarah Pendidikan negeri, Zainuren Mohd Nor.

Sementara itu, di JOHOR, seramai 4,878 daripada 5,5610 calon UPSR mendapat keputusan cemerlang dengan semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Hasidin Zaini berkata, jumlah itu meningkat 0.42 peratus berbanding 4,811 orang pada 2014. - BERNAMA

UPSR 2015

Artikel Lain