suria

Tiada Peruntukan Dana Khas Daripada GLC, Syarikat Kerajaan Untuk Parti Politik

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tidak memperuntukkan dana tahunan khusus untuk sumbangan kepada ahli politik atau parti politik, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata jika terdapat permohonan sumbangan daripada pihak berkenaan, ia akan dikendalikan seperti permohonan sumbangan kewangan daripada pertubuhan bukan kerajaan lain.

Namun, katanya sumbangan tersebut dibuat berdasarkan keperluan organisasi berkenaan dan ketersediaan baki peruntukan belanjawan untuk pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu semasa permohonan diterima.

Menurut Najib, jumlah sumbangan bagi sesuatu tahun adalah bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima dan keupayaan kewangan syarikat untuk menyediakan peruntukan bagi projek CSR.

"Sumbangan yang disalurkan melalui ahli politik atau parti politik tersebut bertujuan untuk membiayai pelaksanaan aktiviti atau projek tertentu, seperti bantuan kepada mangsa banjir, sukan sekolah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU)," kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab soalan Tan Sri Khalid Ibrahim (BEBAS-Bandar Tun Razak) yang ingin tahu jumlah dana daripada GLC yang telah disumbangkan kepada ahli politik atau parti politik sejak 1981 hingga 2014.

Beliau turut bertanya kepada Najib sekiranya terdapat sebarang perancangan untuk menghentikan amalan sedemikian.

GLC, CSR, dana politik

Artikel Lain