suria

Tiada Dana Khas Daripada GLC Untuk Parti Politik

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tidak memperuntukkan dana tahunan khusus untuk sumbangan kepada ahli politik atau parti politik.

Kementerian Kewangan menjelaskan sekiranya terdapat permohonan sumbangan daripada pihak berkenaan, ia akan dikendalikan seperti permohonan sumbangan kewangan daripada pertubuhan bukan kerajaan lain, berdasarkan keperluan organisasi berkenaan dan ketersediaan baki peruntukan belanjawan untuk pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu semasa permohonan diterima.

Menurut kementerian itu lagi, jumlah sumbangan bagi sesuatu tahun adalah bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima dan keupayaan kewangan syarikat untuk menyediakan peruntukan bagi projek CSR.

"Sumbangan yang disalurkan melalui ahli politik atau parti politik tersebut bertujuan untuk membiayai pelaksanaan aktiviti atau projek tertentu, seperti bantuan kepada mangsa banjir, sukan sekolah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU)," menurut kementerian itu.

Kementerian Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Tan Sri Khalid Ibrahim (BEBASBandar Tun Razak) yang ingin tahu jumlah dana daripada GLC yang telah disumbangkan kepada ahli politik atau parti politik sejak 1981 hingga 2014.

GLC, Kementerian Kewangan

Artikel Berikut

Artikel Lain