suria

Militan: Imigresen Ketatkan Kawalan Pintu Masuk Negara

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen memperketatkan kawalan keselamatan di kesemua pintu masuk negara dalam usaha mengesan dan memburu individu yang terlibat dalam kegiatan militan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata pihaknya mengesan individu berkenaan berdasarkan senarai nama yang diperoleh daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

"Kita kesan mereka menerusi sistem biometrik yang mengikut senarai nama yang diperoleh dan berdasarkan kes individu yang telah disenaraihitamkan.

"Kawalan di pintu masuk lapangan terbang juga diperketatkan bagi mengelak kemasukan warga asing yang terlibat dalam kegiatan militan ke negara ini," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kawalan keselamatan di pintu masuk negara susulan serangan di Paris, Perancis pada Jumaat malam.

Mustafa berkata semua Jabatan Imigresen negeri turut diarah memperketatkan pemeriksaan terhadap warga asing di semua pintu masuk utama.

Dalam usaha membanteras kegiatan itu daripada berleluasa di negara ini, pihaknya bekerjasama dengan PDRM dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan mereka ini.

"Kerjasama ini bagi memastikan mereka tidak mudah membolosi pintu masuk negara," katanya.

Ditanya sama ada Jabatan Imigresen akan menambah bilangan anggota di semua pintu masuk negara ini, Mustafa berkata tiada penambahan akan dibuat kerana anggota bertugas mencukupi.

"Anggota Imigresen bertugas 24 jam setiap hari dan tidak akan berkompromi dengan mereka ini," katanya.

Menurut laporan, lebih 100 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam siri serangan di sebuah dewan konsert, restoran-restoran di pusat bandar dan berdekatan Stadium Stade de France di Paris pada Jumaat malam.

Imigresen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain