Banjir: Jangan Guna Alat Elektrik, Tutup Suis Utama - TNB - Semasa | mStar

Banjir: Jangan Guna Alat Elektrik, Tutup Suis Utama - TNB

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan sebarang peralatan elektrik serta menutup suis utama apabila premis mereka dinaiki air bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya renjatan elektrik.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata pengguna perlu segera menghubungi TNB melalui TNB Careline 15454 atau Facebook TNB Careline apabila premis dinaiki air bagi membolehkan pihaknya menghentikan bekalan elektrik demi keselamatan.

"TNB sentiasa mengawasi keadaan dari semasa ke semasa dan akan menutup bekalan ke pencawang ke kawasan terlibat sekiranya paras air mencecah tahap bahaya," katanya dalam satu kenyataan Ahad.

Bagaimanapun, katanya bekalan elektrik akan disambung semula setelah air banjir surut dan keadaan kembali selamat.

Dalam pada itu, Ir Mohd Aminuddin turut menasihati ibu bapa agar mengawasi tindak-tanduk anak-anak supaya tidak menghampiri tiang elektrik yang terputus semasa banjir kerana arus elektrik mungkin masih mengalir.

"Maklumkan kepada TNB untuk baiki segera kerosakan tersebut serta jauhi kawasan di mana paras air naik dan mencecah talian TNB," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar merujuk kepada kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum menggunakan suis elektrik atau perkakas elektrik yang terendam semasa banjir.-- Bernama

TNB , banjir , TNB Careline

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Rakyat Pahang terima Sultan baharu

Rakyat Pahang terima Sultan baharu