suria

Flu Kuda Dijangka Bebas Sebulan Lagi - Veterinar

Dr Kamarudin (kiri) dan Dr Nurul Hafizah Faisal menunjukkan bagaimana contoh diambil untuk ujian bagi mengesan sama ada kuda terkena flu kuda di Institut Veterinar di Klaung, Johor.

KLUANG: Virus Equine Influenza (EI) atau flu kuda yang dikesan di negara ini sejak Ogos lepas dijangka diisytihar bebas sepenuhnya dalam tempoh sebulan lagi, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Kamarudin Md Isa.

Beliau berkata, tempoh inkubasi selama 63 hari sehingga hari ini menunjukkan penyakit itu telah pulih, namun mengikut piawaian ditetapkan, kira-kira 27 hari lagi diperlukan sebelum virus itu boleh diisytihar bebas sepenuhnya.

"Setelah tiga tempoh inkubasi sejak 8 Ogos sehingga hari ini, tiada virus dikesan dan tiada tanda klinikal penyakit diperhatikan, maka dengan ini penyakit Equine Influenza yang berlaku diisytihar pulih.

"Bagaimanapun bagi memenuhi piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE), kita perlu menunggu tempoh sehingga 27 hari lagi menjadikan tempoh 90 hari sebelum laporan akhir dikemukakan kepada OIE pada pertengahan Disember depan untuk pengisytiharan virus tersebut bebas," katanya.

Dr Kamarudin berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Institut Veterinar Malaysia di sini, Ahad.

Beliau berkata berikutan penyakit yang pulih, Perkhidmatan Veterinar hari ini turut menarik semula larangan pemindahan dan pergerakan kuda antara negeri yang dikenakan sejak 28 Ogos lepas, berkuat kuasa hari ini.

Katanya surat kebenaran pemindahan dan pergerakan itu akan diedar ke seluruh premis kuda di seluruh negara sekali gus membolehkan sebarang aktiviti berkuda diadakan.

"Memandangkan keadaan kembali pulih, perbincangan dengan Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan Singapura (AVA) turut diadakan pada 9 Nov lepas dan di dalam perbincangan itu, syarat tambahan juga telah dipersetujui terhadap protokol import kuda dari Singapura.

"Ia termasuk mewajibkan semua kuda yang memasuki Malaysia diberi suntikan Equine Influenza Virus (EIV) di negara asal, semua kuda import dari luar hendaklah dijalankan ujian pengesanan penyakit EIV dan setiap kuda yang diberi vaksin EIV di stesen kuarantin perlu direhatkan selama seminggu sebelum ia dibenarkan dibawa keluar untuk pemindahan," katanya.

Penularan Equine Influenza dikesan selepas dua ekor kuda yang dipindahkan ke Kelab Lumba Kuda Selangor (STC) dan seekor ke Kelab Lumba Kuda Perak (PTC) pada 14 Ogos lepas, dikesan mengeluarkan hingus dipercayai 'influenza-like'.

Kuda-kuda yang dipindahkan ke STC mula menunjukkan tanda klinikal selesema pada 15 Ogos manakala kuda yang dipindahkan ke PTC menunjukkan tanda klinikal pada 16 Ogos.-- Bernama


flu kuda, veterinar, OIE

Artikel Lain