suria

MDec, Google Terus Bantu Pereka Kandungan Youtube

Dari kiri: Jared Lee, Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood, Sinan, Pengarah Bahagian Multimedia Kreatif MDec Hasnul Hadi Samsudin dan Pengarah Urusan Google Malaysia Sajith Sivanandan di majlis pelancaran program Made for Google. -foto TAN KIT HOONG/The Star
KUALA LUMPUR: MDeC dan Google telah bekerjasama dalam menawarkan program Made for YouTube bagi membantu membentuk dan menyerlahkan bakat pereka kandungan tempatan.

Dengan menyediakan sokongan dalam bentuk kemudahan pengeluaran, pembiayaan pembangunan, tenaga kerja berdedikasi, strategi pertumbuhan dan nasihat daripada Google dan MDeC sendiri, program ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia beralih daripada penggunaan kepada rekaan kandungan.

Ketika pra-pelancarannya setahun yang lalu, pusingan pertama peserta terdiri daripada 20 syarikat MSC dan pengguna YouTube yang telah dipilih oleh MDeC dan Google.

Ini termasuklah Les 'Copaque di mana sejak menjadi rakan kongsi YouTube pada tahun 2012, salurannya telah berkembang kepada lebih 500,000 pelanggan dengan lebih 400 juta kali paparan secara keseluruhan, meletakkannya di kedudukan keempat dalam senarai pelanggan YouTube terbanyak di Malaysia.

Bagi pereka kandungan YouTube, The Film Grim adalah salah satu daripada kisah kejayaan, yang kini mempunyai lebih 100,000 pelanggan dengan hampir sembilan juta kali paparan.

Pengasas The Film Grim, Jared Lee, menghadiri bengkel di bawah program ini yang telah banyak mengajarnya tentang bagaimana untuk mengembangkan saluran, terutama dari segi konsistensi.

Lee juga berharap dapat mendirikan projek peribadinya bersama MDeC di bawah program ini, dengan harapan untuk mendapatkan pembiayaan.

Pengasas bersama dan pengarah DD Animation Studio Sdn Bhd, Sinan Ismail, yang mencipta Didi and Friends berkata program ini telah membantu dirinya apabila dia ditunjukkan tentang bagaimana untuk menggunakan alatan berkesan seperti Analytics dan seumpamanya untuk mengembangkan saluran mereka.

Didi and Friends merupakan saluran YouTube lagu kanak-kanak dalam bahasa Melayu yang sangat popular dan pada masa ini mendapat lebih dari 42 juta kali paparan dengan kebanyakan lagu-lagunya mencecah jumlah tontonan sebanyak tiga juta kali untuk setiap satu.

Menurut Sinan, syarikat itu pada asalnya cuba menunjukkan kandungan rekaan mereka kepada pelbagai syarikat penyiaran, tetapi hasilnya kurang berjaya.

"Kandungan pra-sekolah tidak mudah untuk dijual kepada penyiar jadi kita beralih daripada program bersiri ke lagu dan dari TV ke YouTube," katanya.

Hari ini, saluran ini begitu popular, menunjukkan keadaan sudah berubah apabila penyiar yang mengetuk pintu syarikat pereka kandungan.

DD Animation telah bekerjasama dengan Astro untuk program bersiri akan datang yang akan ke udara sekitar tahun 2016.

Artikel Lain