suria

Kru Feri Cedera Dipukul Sekumpulan Lelaki

GEORGE TOWN: Seorang kru feri cedera dipukul sekumpulan lelaki semasa feri Pulau Pinang hendak berlabuh di terminal feri Raja Tun Uda di Weld Quay di sini Rabu lepas.

Kejadian pada 9.45 malam itu menyebabkan lelaki berusia 38 tahun itu cedera di muka dan patah tulang rusuk kiri akibat dipukul dengan topi keledar, kaki dan tangan.

Dia dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kru feri berkenaan hendak membuka pintu dek bawah ketika feri merapat untuk berlabuh dan pada masa itu terdapat kira-kira 11 lelaki berkumpul di depan pintu dek.

"Kru feri itu memberitahu mereka agar beredar dari tempat berkenaan kerana ingin membuka pintu dek (tetapi) dia tiba-tiba ditolak dari arah belakang dan badannya terkena seorang daripada mereka.

"Kumpulan lelaki terbabit bertindak kasar dengan memukul kru feri  beramai-ramai menggunakan topi keledar," katanya di sini Jumaat.

Mior Faridalatrash berkata kru feri berkenaan cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik pegawai bertugas tetapi kumpulan lelaki terbabit mengejarnya serta terus memukul kru feri berkenaan.

"Ketika kejadian terdapat orang awam yang melihat kejadian itu tetapi tidak mempedulikannya atau cuba membantu...kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara kru feri itu dengan seorang daripada lelaki terbabit," katanya.

Beliau berkata kru feri itu tidak dapat mengecam lelaki yang menyerangnya dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel Lain