suria

Keluarga Mohon Kerajaan Singapura Kurangkan Hukuman Terhadap Jabing

Ibu dan adik perempuan Jabing hadir pada sidang media berkaitan kes tersebut pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Keluarga Kho Jabing merayu kepada kerajaan Singapura untuk mengurangkan hukuman mati yang dikenakan terhadap lelaki itu kepada penjara seumur hidup dengan mendakwa suspek bukan individu jahat.

Jabing, 31, yang berasal dari Ulu Baram, Sarawak menghadapi hukuman mati kerana membunuh buruh pembinaan warga China pada 2008 ketika cubaan merompak mangsa.

Ibunya, Lenduk Ak Baling, 54, berkata anak lelakinya itu bukan individu jahat dan amat menyesali perbuatannya.

"Sejak dia dilahirkan sehingga ke sekolah, dia tidak pernah bergaduh dengan rakan-rakan, guru atau sesiapa sahaja... Dia bukan individu yang jahat," kata Lenduk pada sidang media di sini Jumaat.

Lenduk berkata beliau tidak dapat tidur atau hilang selera makan sejak mendapat tahu anak lelakinya itu akan dihukum mati.

Jabing dijadualkan menjalani hukuman gantung 6 November lalu namun diberi penangguhan pada jam-jam terakhir selepas peguamnya memfailkan permintaan kepada Mahkamah Rayuan Singapura untuk menilai semula pendebatan tentang hukuman matinya.

Rayuannya itu akan didengar semula pada 23 November ini.

Adik perempuan Jabing, Jumai Kho, 27, berkata ahli keluarganya terkejut apabila mengetahui abangnya itu terlibat dalam kes pembunuhan.

"Dia bukan individu jahat... dia seorang yang penyayang dan sentiasa menjaga kami. Saya berharap kerajaan Singapura mengurangkan hukuman mati. Hanya dia sahaja abang yang kami ada," katanya.

Pada sidang media itu, beberapa kumpulan aktivis menggesa Presiden Singapura Tony Tan untuk memberi pengampunan kepada Jabing.

Pengasas We Believe in Second Chances, Kirsten Han berkata kumpulan itu bimbang jika Jabing akan dikenakan hukuman mati berdasarkan keputusan majoriti mudah oleh Mahkamah Rayuan.

"Tiada niat untuk membunuh ditemui, malah tiada urutan yang jelas mengenai peristiwa itu berlaku," katanya.

Jabing disabitkan hukuman mati pada 2010 tetapi pada Ogos 2013 berikutan semakan kepada mandatori undang-undang hukuman mati di Singapura, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.

Pada Januari tahun ini, panel lima hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan  3-2, mensabitkan Jabing bersalah dan menghantar semula pemuda itu ke tali gantung.

Rayuan Jabing untuk pengampunan ditolak bulan lepas oleh Presiden Singapura Tony Tan Keng Yam.

Kho Jabing, pengampunan, Singapura

Artikel Lain