suria

Jururawat Tunjuk Perkembangan Positif Selepas Sedar Dari Koma

Janice ditatang bagai minyak yang penuh oleh ibu saudaranya.

GEORGE TOWN: Seorang jururawat, Janice Chuah Chai Ming berada dalam koma hampir dua tahun dengan doktor nyaris mengisytiharkan kematiannya.

Namun, ibu saudaranya, Chuah Bee Hong tidak berputus-asa sanggup berhenti kerja sebagai tukang cuci untuk menjaga Janice sehingga dia sedarkan diri baru-baru ini.

Terima kasih di atas pengorbanan ibu saudaranya itu.

Wanita berusia 30 tahun itu akhirnya berupaya mengangguk kepalanya, menggerakkan kaki dan tangannya sejak setahun yang lalu ketika berehat di rumahnya di sini.

Dia masih tidak boleh bercakap kerana doktor menjalankan pembedahan di bahagian tekaknya sebelum ini.

Bee Hong, 50, berkata Janice berada dalam koma selama dua tahun sebelum menggerakkan kelopak matanya setahun yang lalu.

Janice mempunyai masa depan yang cerah apabila dia berjaya mendapat pekerjaan di Singapura tiga tahun lalu.

Namun, insiden langgar lari memusnahkan harapan Janice.

Janice Chuah Chai Ming.

Janice menunjukkan tanda-tanda untuk pulih sejak sedar dari koma baru-baru ini.

Ibu saudaranya memberitahu Guang Ming Daily bahawa beliau tidak pernah berputus-asa terhadap Janice dan menjaganya seperti anak sendiri.

"Saya hanya berharap suatu hari nanti dia boleh duduk dengan sendiri. Itu harapan saya.

"Saya gembira melihat perkembangannya. Kehidupannya amat menyedihkan. Ibu bapanya bercerai dan meninggalkan dia di bawah jagaan saya sejak berusia tiga tahun.

"Namun dia sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam hidup. Dia mahu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada saya apabila mendapat pekerjaan di Singapura.

"Kemalangan yang menimpanya beberapa hari sebelum berlepas ke Singapura meragut segala-galanya," katanya seperti dilaporkan dalam Guan Ming Daily.

Mengimbas kembali detik malang pada 13 Mac 2012, Bee Hong mendakwa seorang doktor nyaris mengumumkan kematian Janice kerana dia mengalami kecederaan yang serius di bahagian kepala dan otak.

Dia menunggang motosikal ke tempat kerja sebelum dilanggar di bahagian belakang pada pukul 7.30 pagi di Gelugor.

Unit peronda sukarela menjumpai Janice yang terbaring di tepi jalan sebelum ambulans dikejarkan ke tempat kejadian.

"Dunia saya seolah-olah kelam apabila doktor memberitahu Janice sudah tiada.

"Namun saya tidak berputus-asa. Saya terus memanggil namanya sebelum dia menggerakkan jarinya. Ketika itu doktor melakukan pembedahan terhadap Janice," katanya.

Bee Hong berkata Janice semakin pulih kerana dia boleh menangis dan tersenyum pada suatu ketika.

"Namun dia akan berasa tidak selamat setiap kali kami tiada di sisi. Dia akan menangis dan membuat bising.

"Dia akan memegang erat tangan kami. Dia menjadi 'jam loceng' kepada anak perempuan saya yang lain.  Dia akan menjerit ke arah anak perempuan saya pada pukul 6 pagi setiap hari supaya dia pergi ke sekolah," katanya.

Artikel Lain