suria

Laluan Alternatif Kedua Jalan Lama Persekutuan KL-Bentong Dibuka: JKR

KUALA LUMPUR: Laluan alternatif kedua iaitu Jalan Lama Persekutuan Kuala Lumpur-Bentong dibuka kepada kenderaan ringan pada pukul 11 pagi Jumaat selepas ditutup berikutan banjir lumpur di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Rabu lepas.

Jabatan Kerja Raya dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata kenderaan dari Persimpangan Bertingkat Bentong (KLK) perlu melalui jalan alternatif kedua itu untuk menuju ke Kuala Lumpur, manakala kenderaan dari Kuala Lumpur perlu melalui Jalan Gombak menuju ke Jalan Bentong Lama.

Bagaimanapun, laluan alternatif itu akan dibuka dari pukul 7 pagi hingga 6 petang sahaja kerana laluan itu turut mengalami beberapa hakisan yang masih dalam pemantauan pihak JKR Bentong bersama syarikat konsesi.

Menurut JKR, jalan alternatif kedua itu akan ditutup kepada semua kenderaan sebaik sahaja Lebuhraya KL-Karak dibuka semula bagi kedua-dua laluan.

JKR menasihati semua pengguna laluan alternatif itu supaya mematuhi papan-papan tanda keselamatan dan memandu dengan berhati-hati kerana terdapat bahagian tertentu diselaputi lumpur dan berkemungkinan licin disebabkan oleh musim hujan.

Menurut kenyataan itu, jentera dan kakitangan JKR dan syarikat konsesi yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan berada di laluan alternatif itu pada waktu siang hari dari semasa ke semasa bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya sekiranya diperlukan.

Pengguna jalan raya juga boleh menghubungi Bilik Gerakan JKR di talian 03-26107727.

Sejak kejadian banjir lumpur pada Rabu lalu, laluan alternatif utama yang digunakan bagi kedua-dua arah iaitu dari KL-Karak-Kuantan dan sebaliknya melalui dua opsyen iaitu Pelangai-Batu Kikir-Seremban-Kuala Lumpur dan Pelangai-Simpang Pertang-Kuala Klawang-Seremban-Kuala Lumpur. - BERNAMA

laluan alternatif, JKR

Artikel Lain