suria

APMM, Bomba Selamat Dua Nyawa Di Jambatan Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Dua nyawa berjaya diselamatkan anggota agensi penguatkuasaan negeri ini dalam kejadian berasingan di Jambatan Pulau Pinang pada Rabu.

Kes pertama berlaku apabila seorang wanita berusia 47 tahun diselamatkan sebelum bertindak terjun dari jambatan itu sekitar pukul 11.15 pagi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd Azman Hussin berkata 19 anggota bomba dari balai di Jalan Perak dan Prai terbabit dalam operasi itu.

"Komander Operasi Saladdin Abdul Rahim berjaya menarik wanita itu dari belakang.

"Wanita itu dihantar untuk pemeriksaan doktor sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," kata Mohd Azman.

Kes kedua pula berlaku pada pukul 2 pagi, seorang lelaki berusia 20 tahun dari Padang Serai diselamatkan selepas terjatuh dari jambatan.

Kad pengenalan dan motosikal mangsa ditemui empat kilometer dari jambatan yang menghala ke tanah besar.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, lelaki itu berpaut pada tiang di bawah jambatan.

"Sebuat bot perondaan APMM menyelamatkan mangsa. Selepas menerima rawatan dari Hospital Pulau Pinang, mangsa dihantar ke balai polis Seberang Prai," katanya.

Bagi mereka yang sedang menghadapi masalah dinasihatkan untuk menghubungi Befrienders di talian 04-2815161 (Pulau Pinang), 03-79568144 (Lembah Klang), atau 05-5477933 (Ipoh).



Jambatan Pulau Pinang, APMM

Artikel Lain