suria

Apandi Kaji Semula Tuduhan Hasutan, Hanya Kes Berpeluang Menang Akan Diteruskan

Tan Sri Mohamed Apandi Ali
PETALING JAYA: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang mengkaji semua kes di bawah pertuduhan Akta Hasutan dan akan meneruskan kes yang mempunyai 99 peratus (peluang) untuk mendapatkan sabitan.

Apandi berkata sejak menduduki pejabat kira-kira 100 hari lalu beliau telah membuat tapisan kes terhadap 'mereka yang disiasat tetapi tidak didakwa lagi, malah terhadap mereka yang sudah didakwa'.

Beliau berkata, dalam mengkaji semula kes-kes dan mungkin menjatuhkan pertuduhan kepada sebahagian daripada mereka, termasuk terhadap ahli-ahli pembangkang, ia tidak bermakna akta itu telah disalahgunakan.


"Semua ini semata-mata persepsi. Sama ada terdapat kecenderungan atau tidak, ia satu persepsi. Dan apabila anda pergi ke mahkamah, ia terpulang kepada individu yang munasabah di sana.

"Saya cuba meletakkan diri saya dalam kasut lelaki yang munasabah ini. Kerana, saya yang memutuskan, 'hei, adakah ini boleh dipegang di mahkamah?'. Sama ada ucapan itu bersifat menghasut atau tidak, ia boleh dipertikaikan," katanya.

"Boleh jadi ya, boleh jadi tidak. Jadi, ada keseimbangannya. Tetapi jika ia tidak berapa jelas, saya akan tarik balik.

"Pendirian saya ialah, saya mesti mempunyai kes dengan 99% kejayaan, barulah saya meneruskannya. Itulah konsep atau pendekatan saya dalam mengkaji semula kes.


"Jadi saya mengurangkan bilangan kes-kes yang boleh dirayu. Ini menjimatkan masa semua orang," Apandi memberitahu The Malaysian Insider dalam satu wawancara.

Apandi, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Gani Patail ketika pegawai-pegawai penguatkuasa ditahan atau dipindahkan dan Kabinet dirombak ketika siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd dijalankan.

Apandi berkata Akta Hasutan 'masih relevan' dan berwaspadalah apabila berkata-kata.


Beliau berkata Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan-peruntukan lain yang boleh digunakan terhadap pesalah Akta Hasutan tetapi itu bukan alasan untuk menghapuskannya."

Artikel Lain