suria

Kes Bunuh Tapah: Reman Semua Suspek Disambung Tujuh Hari

Suspek ke bunuh di Tapah dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapat perintah melanjutkan tahanan reman.

TAPAH: Mahkamah Majistret melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari lagi terhadap empat sekeluarga dalam kes pembunuhan empat individu di bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini.

Perintah lanjutan tahanan itu dikeluarkan Majistret Nurul Nadia Abdul Razak yang bermula esok dan berakhir 19 November.

Empat sekeluarga yang terdiri daripada suami, 57, isteri, 54, serta dua anak lelaki yang masing-masing berumur 20 dan 17 tahun itu sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 Nov dan berakhir hari ini.

Kesemua suspek disambung reman semula bagi kes pembunuhan seorang lelaki berumur 54 tahun bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan, dilapor hilang pada 15 Jun 2014. 

Sebelum ini, kesemua mereka ditahan reman pada 27 Oktober dan berakhir 6 November lepas bagi kes bunuh membabitkan seorang pekebun dan ejen hartanah, Jasbeer Singh, 46. 

Terdahulu, keempat-empat suspek tiba di mahkamah dengan berpakaian lokap diiringi dengan beberapa anggota polis pada pukul 8.15 pagi. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -- Bernama

reman, Tapah, Nurul Nadia Abdul Razak

Artikel Lain