suria

Konsep 'Majlis Penasihat' Dr Mahathir Tiada Dalam Perlembagaan - Salleh

Dr Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR: Cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya sebuah majlis penasihat memerintah negara ini, tidak ada  dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan ia bertentangan dengan sistem kerajaan Westminster, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh berkata Dr Mahathir pernah mengilhamkan konsep majlis penasihat presiden pada 2008.

"Lebih tujuh tahun kemudian, beliau masih menggesa ia (majlis penasihat) dilaksanakan walaupun tiada sistem sedemikian dalam Perlembagaan atau dalam sistem kerajaan Westminster,"katanya dalam blog beliau sskeruak.blogspot.com pada Rabu.

Salleh mengulas analisis berita sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris bertajuk 'De facto PM role for Dr M?' (Peranan PM de facto untuk Dr M?) berhubung rancangan Dr Mahathir menubuhkan sebuah majlis penasihat bagi menasihati perdana menteri pilihan beliau.

"Jika beliau mahukan majlis sedemikian, mengapa beliau tidak mengubah sistem itu semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun?," soal Salleh.

Salleh berkata Dr Mahathir mahu menukar Perdana Menteri sedia ada, dan kemudian membenarkan rakyat Malaysia memutuskan sistem yang mereka suka selepas Malaysia mendapat perdana menteri baharu.

"Memandangkan Dr Mahathir mahu membenarkan rakyat Malaysia memilih masa depan mereka sendiri, bagaimana jika rakyat Malaysia masih mahukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri?

"Apakah Dr Mahathir bersedia untuk bersetuju dengan perkara ini?

"Walaupun beliau bersedia membenarkan rakyat Malaysia memilih sistem yang mereka mahu, Dr Mahathir masih mahu menentukan siapa yang patut menjadi perdana menteri dan tidak akan membenarkan rakyat Malaysia membuat keputusan itu," kata Salleh. - BERNAMA

Artikel Lain