suria

Henti Bergantung Kepada Pembantu Rumah Warga Asing

PETALING JAYA: Dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat dan kemerosotan nilai ringgit, rakyat Malaysia kini tidak lagi boleh bergantung kepada pembantu rumah warga asing tetapi mencari jalan penyelesaian alternatif.

Beberapa pakar mencadangkan alternatif lain yang boleh diambil oleh sesebuah keluarga daripada mengeluarkan lebih banyak perbelanjaan untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah terutamanya dari Filipina dan Indonesia.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Tan Peck Leong berkata keluarga yang bergantung kepada pembantu rumah perlu mencari alternatif dengan menggunakan khidmat pembantu rumah tempatan secara sambilan.

"Mereka boleh datang untuk membersihkan rumah dua atau tiga kali seminggu. Kita perlu melihat kepada alternatif ini daripada bergantung kepada pembantu rumah warga asing," kata Dr Tan yang menjalankan penyelidikan mengenai kesan pembantu rumah warga asing di Malaysia.

Beliau turut mencadangkan satu platform untuk menghubungkan mahasiswa dan pelajar lepasan sekolah kepada peluang pekerjaan sambilan.

"Kita mencari mahasiswa dan pelajar lepasan sekolah yang boleh melakukan sesuatu pekerjaan. Jika kita boleh menghubungkan mereka kepada peluang pekerjaan, kita boleh mengurangkan kebergantungan terhadap pembantu rumah.

"Kita tidak boleh terus bergantung kepada mereka. Dengan nilai ringgit yang semakin menyusut, mereka pastinya akan meminta lebih banyak lagi," katanya.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, N. Gopal Krishnan berkata pengambilan pekerja tempatan akan membantu membendung kegiatan penyeludupan manusia di Malaysia.

"Ramai pekerja domestik dieksploitasi dan didera di sini. Sesetengah daripada mereka akhirnya bekerja di restoran, industri kecil dan juga perdagangan seks walaupun mereka diberitahu mereka di sini untuk perkhidmatan pembantu rumah.

"Jika anda rasakan mengambil pekerja asing adalah terlalu mahal, lakukannya sendiri. Jika kita boleh mencari pembantu rumah tempatan, ia juga akan mengehadkan aliran keluar wang negara yang mana ia lebih baik untuk ekonomi.

"Kita juga perlu memberi peluang kepada rakyat tempatan yang sanggup untuk mendapat pendapatan sampingan. Namun mereka perlu dibayar dengan sewajarnya. Orang ramai lebih suka pekerja asing kerana mudah untuk mengeksploitasi mereka tetapi jika mengambil pekerja tempatan, lebih sukar untuk melakukan perkara seperti itu," katanya.

Pakar ekonomi, Lee Heng Guie berkata rakyat Malaysia mahupun pekerja asing perlu menyesuaikan perbelanjaan mereka kerana kemerosotan nilai ringgit.

"Kita akan melihat beberapa kesan dari segi kualiti hidup. Persoalannya ialah sama ada nilai ringgit yang lemah akan berterusan atau diharapkan berlaku sebaliknya yang tertakluk kepada faktor luaran dan domestik," katanya.

Menurut Lee, apabila ia membabitkan pengambilan pekerja tempatan, ia bergantung kepada majikan sama ada bersedia membayar gaji yang lebih tinggi.

“Kita bergantung kepada pekerja asing dengan gaji yang rendah dalam industri perkhidmatan tertentu. Walaupun nilai ringgit lemah, mereka akan datang ke negara ini kerana permintaan.  Jika trend ringgit lemah berterusan, majikan mungkin mempertimbangkan untuk mengambil pekerja tempatan tetapi ia bergantung kepada aliran masuk pekerja asing dan permintaan gaji."

Kos pengambilan pembantu rumah di Malaysia telah meningkat.

Pembantu rumah warga Filipina memperoleh gaji bulanan sebanyak AS$400 (RM1,720).

Nilai mata wang ringgit terus susut memaksa majikan mengeluarkan lebih banyak perbelanjaan terhadap kos tersebut.

Jika trend itu berterusan, kadar itu mungkin boleh diselaraskan lagi.

Sementara itu, pembantu rumah warga Indonesia pula akan mendapat kenaikan gaji jika cadangan daripada kerajaan Indonesia dipersetujui.

Indonesia mencadangkan gaji pembantu rumah dari negara itu sebanyak RM800 dinaikkan sehingga RM1,200.

Hasil kajian yang dilakukan Dr Tan mendapati jumlah kerugian negara setiap tahun adalah sebanyak RM8.5 bilion, berdasarkan anggaran 750,000 pembantu rumah yang berada di sini secara sah mahupun secara haram.


pembantu rumah, jalan alternatif

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain