suria

MAHB Guna Kaedah Baru Selenggara klia2

PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)  menemui kaedah baharu penyelenggaraan, menggunakan suntikan penurapan untuk menggantikan pemasangan papak konkrit bagi jalan rayap dan kawasan parkir pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia) di Sepang.

MAHB dalam satu kenyataan hari ini berkata penurapan akan dilakukan di lokasi terjejas pada bulan lepas sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan.

"Kaedah baharu ini tidak akan melibatkan kerja-kerja penggalian terbuka dan dengan itu, kurang gangguan kepada operasi lapangan terbang," katanya.

MAHB berkata 54 lokasi memerlukan penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah tanah di KLIA2, terutamanya di jalan rayap (12 lokasi) dan tempat parkir pesawat (42 ruang).

"Pada 31 Okt, 35 lokasi telah dipasang dengan papak konkrit, manakala 19 lokasi yang tinggal akan diselenggara dengan penurapan kaedah suntikan, " katanya.

Bagaimanapun, ia berkata jadual kerja tidak berubah dan kerja-kerja bagi baki lokasi akan siap pada April tahun depan seperti yang dilaporkan.

Beliau berkata kerja-kerja lapisan turapan melibatkan 19 peratus daripada jumlah keseluruhan 1.48 juta meter persegi kawasan lapangan terbang klia2 dan sehingga 31 Okt, 84 peratus daripada kerja itu telah selesai.

"Peratusan kawasan yang akan diselenggara dengan kerja-kerja lapisan turapan akan berkurangan dari masa ke masa daripada 19 peratus pada 2015, kepada lima peratus menjelang 2019.

MAHB berkata syarikat menghargai penglibatan semua pihak berkepentingan melalui Jawatankuasa Pemeriksaan Bersama yang bermesyuarat secara tetap dan menjalankan pemeriksaan mingguan dengan semua pihak yang berkaitan, termasuk syarikat penerbangan. 

klia2

Artikel Berikut

Artikel Lain