suria

Tiga Anggota Sindiket Ditahan, Kongsi Kepakaran Hasilkan Ekstasi Semasa Dalam Tahanan

Haris Wong (tengah) dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Jerantut, ASP Pirabaharan (kiri) pada sidang media, Selasa, menunjukkan rampasan dadah dan kejayaan polis melumpuhkan satu sindiket dadah. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiga daripada 16 anggota sindiket memproses pil ekstasi bernilai RM28 juta yang ditahan Ahad lepas, disyaki berkongsi kepakaran dalam kegiatan berkenaan ketika dalam tahanan.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Haris Wong Abdullah berkata mereka ditahan dalam 10 serbuan serentak bermula 4 pagi di lokasi sekitar Jerantut, Pahang dan Lembah Klang, pada Ahad lepas.

Pada sidang media di Bukit Aman hari ini, beliau berkata dalam serbuan itu polis menahan enam individu di Jerantut dan 10 di Lembah Klang.

Haris berkata serbuan itu dilakukan serentak oleh Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman, yang menahan sembilan lelaki dan tiga wanita tempatan, masing-masing seorang lelaki dan wanita warga China serta dua wanita rakyat Vietnam.

Haris berkata dalam operasi itu, polis menyerbu sebuah banglo yang dijadikan makmal memproses pil ekstasi serta stor simpanan dadah, sebelum menahan tiga lelaki dan tiga wanita tempatan.

Beliau berkata polis merampas adunan pil ekstasi seberat 201 kilogram dan kokain seberat lima kilogram serta pelbagai perkakasan yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis ekstasi di makmal tersebut.

"Siasatan polis mendapati mereka menyewa kediaman itu hanya untuk menjalankan operasi dan tinggal di homestay yang disewa antara tiga hingga empat minggu, dan terletak empat kilometer daripada banglo tersebut bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata hasil semakan rekod polis mendapati tiga lelaki tempatan itu merupakan bekas banduan yang pernah ditahan selama dua tahun di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor atas kesalahan yang sama.

"Mereka baru sahaja dibebaskan pada Jun lepas, dan kembali berjumpa sebelum menjadikan sebuah banglo di Jerantut sebagai makmal memproses dadah berkenaan," katanya.

Berikutan itu, polis membuat 10 lagi tangkapan di beberapa lokasi di ibu negara iaitu Selayang, Kepong, Sri Muda, Gombak dan Bandar Sri Damansara pada hari yang sama.

"Serbuan itu turut membawa kepada penemuan sebuah stor menyimpan dadah disyaki ekstasi seberat 77 kilogram di sebuah kondominium di Kepong.

"Selain itu, sejumlah wang tunai RM800,000 termasuk mata wang asing dirampas, dua utas jam tangan berjenama serta 10 kenderaan pelbagai jenis disita dengan jumlah keseluruhan RM2.4 juta," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang berumur antara 18 dan 50 tahun itu  direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Haris berkata dadah pelbagai jenis bernilai RM217 juta berjaya dirampas dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Katanya sebanyak 147,793 orang termasuk 5,856 warga asing ditahan berkaitan kes dadah dalam tempoh berkenaan. - BERNAMA

pil ekstasi, sindiket

Artikel Sebelum

Artikel Lain