suria

Bandaraya Sukan Baharu Di Kompleks Sukan Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Kompleks Sukan Bukit Jalil bakal berubah menjadi Bandaraya Sukan dengan kemudahan serba canggih, moden dan mudah diselenggarakan menjelang 2020.

Pengarah Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) Imran Salim berkata projek bernilai RM1.6 bilion itu akan merangkumi dua fasa untuk meningkatkan kemudahan sedia ada bagi penganjuran Sukan SEA 2017, selain terus menghasilkan pendapatan menerusi kemudahan baharu itu.

"Fasa Satu yang dijadual bermula Januari tahun depan hingga Jun 2017 melibatkan kerja menaik taraf dan mencantikkan Stadium Nasional, Stadium Hoki Nasional dan Pusat Akuatik Nasional sebagai persiapan menganjurkan Sukan SEA, membabitkan kos RM499 juta.

"Ini termasuk menaik taraf sistem pencegahan kebakaran, bilik persalinan, lif dan eskalator, tandas, menggantikan paip air sejuk dan sistem siar raya," katanya dalam taklimat khas kepada media pada Selasa.

Bagaimanapun, kerja utama projek itu hanya akan bermula selepas tamat temasya sukan dwitahunan itu, dari Januari 2018 hingga Disember 2020 yang membabitkan kos RM1.1 bilion, yang akan mengubah kompleks berumur 17 tahun itu kepada Bandaraya Sukan.

Bagi Fasa Dua, kompleks sukan itu akan melalui proses pembangunan membabitkan pembinaan pusat konvensyen yang baharu, pusat pemulihan, taman belia, muzium, perpustakaan sukan dan asrama belia (untuk atlet).

Sebuah kompleks membeli-belah bagi menjadikan tempat itu tumpuan pengunjung turut dirancang, dengan menjadikan Sports Hub di Singapura dan Stadium Olimpik London sebagai model.

"Fasa ini akan menyaksikan kerja pembinaan bermula kerana kita tidak mahu kompleks sukan itu kelihatan seperti tapak pembinaan sewaktu Sukan SEA," katanya.

Bangunan baharu akan dibina bagi memastikan pengendali meraih pendapatan, selain memulihkan sungai berdekatan dan laluan masuk ke bandar raya sukan itu.

"Fasa ini termasuk membina bumbung dan tempat duduk yang boleh dibuka dan tutup, sistem pengudaraan, kerja memasang trek di Stadium Nasional serta laluan joging 15km.

"Reka bentuk baharu ini akan menampilkan budaya Malaysia yang turut termasuk Harimau Malaya," katanya.

Apabila siap kelak, Bandaraya Sukan ini akan menjadi pusat kunjungan yang bukan hanya untuk atlet tetapi juga orang ramai.

MRCB dilantik kerajaan menerusi anak syarikatnya, Rukun Juang Sdn Bhd (RJSB) untuk menjadikan Kompleks Sukan Nasional kepada Bandaraya Sukan ikonik selepas melalui proses tender terbuka Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Pakar stadium antarabangsa, Populous dilantik sebagai pereka projek itu dan antara rekaan mereka adalah Stadium Yankee, Stadium Olimpik London dan Stadium Etihad di Manchester.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Azman Fahmi Osman berkata pihaknya akan memperkenalkan kerusi bernombor serta kawalan tiket bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

"Rumput di stadium tidak akan terjejas dalam Fasa Satu dan ia akan digunakan untuk Sukan SEA. Ia masih dalam keadaan baik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain