suria

Muhdalena Kekal Bebas Tuduhan Miliki Parang Dalam Kejadian Amuk

Muhdalena Ahmad
KUALA LUMPUR: Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhdalena Ahmad kekal bebas daripada pertuduhan memiliki sebilah parang dalam kejadian amuk bersama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di perkarangan kompleks Jabatan Perdana Menteri(JPM) di Putrajaya, tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff terhadap keputusan hakim Mahkamah Sesyen Putrajaya, pada 19 Jun tahun lepas, yang membebaskan Muhdalena, 31, daripada pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Kamardin berkata mahkamah mendapati rayuan pihak pendakwaan tidak mempunyai merit dan memutuskan keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Sesyen adalah tepat dan betul.

"Keputusan hakim bicara adalah betul apabila melepaskan responden (Muhdalena) atas semua pertuduhan dan sebaliknya telah mengguna pakai peruntukan Seksyen 348 Kanun Acara Jenayah dengan memerintahkan responden ditahan di Hospital Permai Tampoi, Johor Baharu, sehingga diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

"Dengan itu, rayuan perayu ditolak dan keputusan hakim Mahkamah Sesyen Putrajaya dikekalkan," katanya.

Kamardin berkata mahkamah juga bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Sesyen bahawa terdapat keterangan yang kukuh dan mencukupi menunjukkan bahawa responden telah melakukan setiap kelakuan yang dipertuduhkan walaupun atas sebab ketidakwarasan akal sehingga tidak tahu perbuatan itu salah di sisi undang-undang.

"Responden telah dibebaskan atas semua pertuduhan sebagaimana dikehendaki dan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 347 Kanun Acara Jenayah," katanya.

Pada 19 Jun tahun lepas, Mahkamah Sesyen Putrajaya melepaskan Muhdalena daripada empat pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya dalam kejadian amuk itu.

Mahkamah Sesyen itu mendapati wanita itu mengalami ketidaksempurnaan akal semasa kejadian dan memerintahkannya ditahan di Hospital Permai Tampoi, Johor Baharu, sehingga perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Empat pertuduhan itu ialah melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Koperal Ridzuan Megat Ahmad di Kompleks 'B' JPM pada 9 Julai 2012, memiliki sebilah parang, mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagal mematuhi nasihat menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan tanpa kebenaran.

Ibu kepada tiga anak itu, diwakili peguam M.Visvanathan hadir dalam prosiding hari ini dengan ditemani anggota keluarga serta pegawai perubatan.

Visvanathan, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu Muhdalena gembira dengan keputusan itu dan akan terus mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Muhdalena, amuk, pedang samurai

Artikel Lain