suria

DAP Persoal RoS Masih Jalankan Siasatan Pemilihan Semula Parti

Anthony Loke
KUALA LUMPUR: DAP  mempersoalkan tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang masih menjalankan siasatan terhadap keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu pada 2013 walaupun ia telah mengadakan pemilihan semula.

Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke berkata, siasatan itu masih dijalankan sehingga berlarutan selama dua tahun sedangkan tempoh CEC adalah tiga tahun.

"Tempoh CEC akan berakhir tahun depan tetapi kenapa siasatan masih dijalankan. Kita amat tidak puas hati, seolah-olah RoS cuba memanjangkannya (siasatan).

"Kenapa ambil masa yang begitu panjang? Takkan hendak tunggu pilihan raya umum ke-14? Nanti mereka beritahu pada saat-saat akhir sebelum penamaan calon bahawa kita tak boleh pakai Roket (DAP) lagi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas jawapan bertulis berdasarkan soalan yang dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri mengenai status siasatan terhadap DAP.

Menurut jawapan bertulis yang dikeluarkan pada Khamis itu,  RoS masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap DAP berikutan pemilihan pada 23 September 2013 kerana pengurusan parti masih belum mengambil tindakan seperti mana yang telah dinasihatkan oleh RoS.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, DAP tidak tahu-menahu mengenai apa yang dinasihatkan oleh RoS.

"Tak ada apa-apa surat yang minta atau nasihat kita mengenai apakah tindakan yang patut kita ambil.

"Adalah tidak adil kepada DAP kerana memberikan jawapan (bertulis) seperti ini dan menyalahkan kita tidak mengambil tindakan sedangkan kita dah ambil pelbagai tindakan," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa RoS supaya memberi penjelasan mengenai apakah tindakan yang seharusnya dilakukan oleh parti berkenaan.

"Di manakah keupayaan RoS? Kita sudah beri kerjasama selama dua tahun tetapi masih belum dapat keputusan daripada RoS," katanya sambil mendakwa ia merupakan satu muslihat politik oleh Barisan Nasional (BN).

Pemilihan semula DAP diadakan selepas RoS memberi amaran untuk membatalkan pendaftaran parti itu ekoran berlaku kesilapan dalam pengiraan undi pada pemilihan parti yang diadakan pada Disember 2012.
RoS, DAP, Anthony Loke, CEC

Artikel Lain