suria

300 Sekolah Perintis Laksana HIP, DLP Perkukuh B. Inggeris

Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof
PUTRAJAYA: Sebanyak 300 sekolah perintis akan melaksanakan Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP) sejajar dengan usaha pengukuhan Bahasa Inggeris di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata inisiatif yang akan dilaksanakan menerusi Gelombang 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 itu melibatkan kos RM38.5 juta.

Beliau berkata HIP akan dilaksanakan di semua sekolah secara berperingkat, manakala DLP akan dilakukan secara pilihan.

"Pemilihan sekolah itu adalah berdasarkan kepada permintaan ibu bapa dan pengetua atau guru besar serta kesediaan sekolah berkenaan melaksanakannya.

"Kementerian Pendidikan juga menetapkan bahawa di samping pelaksanaan bagi kedua-dua inisiatif ini, pihak sekolah juga telah memastikan bahawa tahap Bahasa Malaysia di sekolah berkenaan juga telah berada pada tahap yang baik dari segi pelaksanaan dan pencapaiannya," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Ketika membentangkan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan memberi komitmen tinggi terhadap pelaksanaan insiaitf di bawah dasar MBMMBI dengan memperuntukkan RM135 juta bagi pelaksanaan program itu.

Mengenai HIP, Khair berkata ia satu program meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris murid melalui peningkatan penggunaan dan penguasaan bahasa itu dalam komuniti sekolah dengan menanamkan sikap positif kepada murid terhadap pembelajaran dan penggunaan Bahasa Inggeris.

Beliau berkata HIP yang mengambil pendekatan dengan memberi fokus kepada pengupayaan sekolah, oleh sekolah, dan untuk sekolah.

Sekolah akan dibekalkan dengan sarana pelaksanaan supaya aktiviti yang dirancang adalah berdasarkan konteks dan kemampuan sekolah dan komuniti, katanya.

Bagi DLP, Khair berkata ia merupakan program pengukuhan Bahasa Inggeris di mana sekolah diberi peluang menawarkan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi dalam dua bahasa, sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Beliau berkata program itu selaras dengan objektif kerajaan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan juga memberi peluang kepada pihak sekolah dan ibu bapa bersama-sama membuat keputusan secara kolektif. 

"Sekolah yang memilih melaksanakan program ini perlu memenuhi kriteria seperti mempunyai sumber mencukupi; kesediaan guru-guru mengajar dalam dwibahasa dan sokongan daripada ibu bapa.

"Sekolah-sekolah yang memenuhi kriteria ditetapkan boleh menawarkan DLP untuk murid Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1 bermula tahun depan. Sebagai permulaan, program ini ditawarkan kepada sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK)," katanya.

Dalam Gelombang 1 PPPM 2013-2015, Khair berkata Kementerian Pendidikan telah melaksanakan program Literasi Bahasa Inggeris di bawah LINUS 2.0, 'Oral Proficiency for Secondary Schools (OPS English)', Program Peningkatan Penguasaan Bahasa Inggeris Sekolah Menengah (PPPISM) dan Program Penutur Jati.

Beliau berkata program-program berkenaan telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam kalangan murid.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga melaksanakan inisiatif  meningkatkan profesion guru Bahasa Inggeris selaras dengan 'Common European Framework of References for Languages (CEFR)' bagi memastikan kualiti Bahasa Inggeris setaraf dengan peringkat antarabangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain